Ekonomi

Kenanga Investors Lancar Frontier Fund

Kenanga Investors Berhad (Kenanga Investors) telah mengumumkan pelancaran Siri Kemampanan Kenanga: Frontier Fund.

Dana ini bertujuan melabur terutamanya dalam sekuriti ekuiti syarikat-syarikat global yang canggih dan inovatif yang mempunyai potensi pertumbuhan jangka panjang yang mampan, hampir membuat tawaran awam awal, dan mempunyai atau akan membangunkan produk dan perkhidmatan yang dikaitkan dengan inovasi berpacukan teknologi.

Kenanga Investors meramalkan pelbagai kemungkinan pelaburan yang penting dalam pertumbuhan ini atau usaha niaga peringkat terkemudian, dengan tema asas mereka bersepadu dalam memberikan tumpuan pada Generasi Akan Datang (Next Generation), atau inovasi berpandangan ke hadapan yang pada masa ini membentuk industri masa hadapan, seperti ekonomi ruang, metaverse (rangkaian persekitaran maya), penjagaan kesihatan, teknologi kewangan (fintech) dan keselamatan siber.

Dana ini akan membolehkan pelabur mendapatkan penjanaan nilai yang mampan daripada syarikat-syarikat ini, yang sebelumnya hanya tersedia secara eksklusif kepada pelabur institusi.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kenanga Investors, Ismitz Matthew De Alwis menjelaskan bahawa firma berhasrat untuk membentuk semula ruang ekuiti swasta sedia ada di Malaysia dengan memberikan tumpuan pada usaha menangani kurangnya laluan yang tersedia kepada para pelabur untuk mengakses peluang pelaburan dalam perniagaan permulaan (start-ups) awal yang terkenal dan sukar dijangkau.


“Sejak tahun 2016, syarikat-syarikat digital yang pesat membangun telah mengatasi “ekonomi lama” dengan menjadi lima syarikat korporat paling bernilai. Berdasarkan perkembangan berterusan teknologi baharu, bukanlah sesuatu yang menghairankan bahawa syarikat teknologi baharu kini semakin bercambah. Kami telah memulakan proses merapatkan jurang antara peserta terkemuka ‘Big Tech’ yang baharu dengan para pelabur kami sejak tahun 2019.

“Pencapaian yang terhasil sangat memuaskan hati para pelabur kami dalam pelbagai cara; daripada pempelbagaian portfolio kepada penerokaan dunia pelaburan baharu yang melewati dunia pelaburan tradisional, dan oleh yang demikian, permintaan terhadap penawaran yang sama telah meningkat.

“Kami berbesar hati untuk memperkenalkan Dana ini kepada pasaran dan para pelabur yang dahulunya tidak berpeluang mengambil bahagian akan berpeluang melakukannya pada kali ini,” kata beliau.

Tumpuan dana terhadap kejayaan teknologi hadapan melambangkan perjalanan Kenanga Investors ke arah pelan strategik pelaburan yang mampan,

“Teknologi hadapan mencerminkan pelbagai peluang dalam menggalakkan keluk pembangunan masa depan, daripada penggunaan teknologi untuk mengurangkan pengeluaran karbon, penemuan perubatan baharu untuk mendorong pemerkasaan pesakit kepada pendemokrasian perkhidmatan kewangan, kemunculan teknologi hadapan akan membolehkan manfaat sosial yang lebih besar dan memacu pulangan yang mampan,” jelas De Alwis.

Dana ini disalurkan ke dalam Dana Frontier Ericsenz dan sesuai untuk pelabur canggih yang mempunyai tempoh pelaburan jangka pertengahan dan panjang.

Tempoh tawaran awal adalah dari 27 Oktober hingga 3 Disember, 2021.  Dana ini tersedia dalam kedua-dua kelas MYR dan USD. Oleh itu, pelabur boleh memilih untuk melabur dalam mata wang pilihan mereka.

Pengurus Dana Sasaran, Ericsenz Capital Pte. Ltd, merupakan firma modal usaha niaga dan ekuiti swasta yang dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Monetari Singapura yang mempunyai pengalaman kolektif hampir 100 tahun dalam berurusan dengan syarikat pasaran pertengahan berpertumbuhan tinggi dalam sektor teknologi, penjagaan kesihatan, pengguna dan tenaga. Ericsenz dikenali bagi rangkaian profesional dan sekutu yang kukuh yang menyediakan cerapan yang bernilai kepada jenama teknologi global.

(Visited 44 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button