KesihatanNasional

Hospital Cyberjaya hospital awam beroperasi sebagai Hospital Pakar Major

Klinik Kesihatan baharu dibuka di Cyberjaya untuk penduduk Sepang, Dengkil

HOSPITAL Cyberjaya yang dibina atas tapak berkeluasan 12.859 ekar setinggi sembilan tingkat beroperasi sepenuhnya sebagai hospital awam di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), kata Khairy Jamaluddin selaku caretaker Menteri Kesihatan.

Hospital ini dilengkapi dengan 288 katil, blok kecemasan dan juga kemudahan 1,006 parkir termasuk 790 di parkir bertingkat siap dibina pada tahun 2017.

Menurut Khairy, pengoperasian Hospital Cyberjaya sebagai Hospital Pakar Major akan dilaksanakan secara berfasa bermula 11 November ini.

Ia bakal menawarkan sebanyak 14 bidang kepakaran dan perkhidmatan kesihatan seperti berikut:

  1. Perkhidmatan Kecemasan;
    Perubatan Am;
    3. Pembedahan Am;
    4. Obstetrik & Ginekologi (O&G);
    5. Pediatrik;
    6. Ortopedik;
    7. Anestesiologi;
    8. Oftalmologi;
    9. Otorinolaringologi;
    10.Radiologi;
    11.Patologi;
    12.Psikiatri dan Kesihatan Mental;
    13.Rehabilitasi; dan
    14.Pergigian.

“Di peringkat awal fasa pengoperasian, Hospital Cyberjaya akan melaksanakan enam perkhidmatan kepakaran iaitu  Jabatan Kecemasan, Jabatan Perubatan, Jabatan Pembedahan dan Jabatan Anesthesiologi, Jabatan Pediatrik dan Jabatan Obstetrik & Ginekologi,” kata Khairy dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Jemaah Menteri pada 5 Mei 2021 telah bersetuju secara prinsip dengan hala tuju pengoperasian Hospital Cyberjaya dilaksanakan melalui model kerjasama awam-swasta berkonsepkan sewaan dengan terma dan syarat serta perbincangan terperinci diterajui oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

Menyedari keperluan mendesak untuk sebuah klinik kesihatan baharu di daerah Sepang bagi mengurangkan kesesakan yang dihadapi di Klinik Kesihatan Dengkil, kata Khairy lagi, KKM telah memutuskan supaya sebuah Klinik Kesihatan baharu dibuka di Cyberjaya.

“Ini bagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan di daerah Sepang dan kawasan sekitar. Menerusi keputusan ini, sebahagian daripada bangunan di dalam kawasan Hospital Cyberjaya akan dibuka dan beroperasi sebagai Kilinik Kesihatan Cyberjaya bagi rawatan pesakit luar,” jelas beliau.

Khairy juga berkata, Klinik Kesihatan Cyberjaya ini akan mula beroperasi pada 1 November ini.

“Pengoperasian Hospital Cyberjaya sebagai sebuah hospital awam dan pembukaan Klinik Kesihatan Cyberjaya akan memberikan akses perkhidmatan kesihatan kerajaan yang berkualiti dan menyeluruh kepada penduduk sekitar.

“Langkah ini sekaligus akan mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di fasiliti kesihatan berhampiran iaitu Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya,” katanya. – SM

(Visited 1,287 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button