Ekonomi

Minggu Usahawan Negara, Minggu PMKS catat potensi jualan lebih RM70 juta

MINGGU Usahawan Negara (MUN) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2023 Peringkat  Kebangsaan berjaya merekodkan potensi jualan sebanyak RM25 juta menjadikan nilai keseluruhan potensi jualan berjumlah RM76 juta dicatatkan setakat ini sepanjang penganjurannya di lima lokasi di seluruh negara.

Manakala, seramai 536 usahawan berpotensi menerima pembiayaan perniagaan sehingga RM29 juta.

Timbalan Perdana Menterim Datuk  Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menyempurnakan perasmian program ini juga turut menyampaikan surat pelantikan Syarikat Prinsipal IB di bawah Inisiatif Pembangunan Rantaian Nilai
Perniagaan Inklusif (IB-VCDI) dan Sijil Program Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE) kepada PMKS bertaraf 5 Bintang di bawah SME Corp. Malaysia.

Penganjuran MUN dan Minggu PMKS oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)   menerusi agensi peneraju SME Corp. Malaysia ini bertujuan meningkatkan kesedaran umum tentang produk dan
perkhidmatan PMKS daripada pelbagai industri serta memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan  masyarakat.

Bertemakan “Sokong Lokal, Sokong PMKS” sebagai sokongan terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan PMKS. MUN dan Minggu PMKS turut bertindak sebagai platform hebahan maklumat mengenai program pembangunan PMKS yang ditawarkan oleh pelbagai Kementerian dan agensi Kerajaan.

Dr. Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya berkata, “Kerajaan Perpaduan melalui visi dan kerangka MADANI akan kekal komited memperkasakan pembangunan PMKS. Penganjuran MUN dan Minggu PMKS seperti ini mampu menjadi platform yang sesuai bagi membawa produk atau perkhidmatan usahawan tempatan termasuklah dari luar bandar untuk terlibat dengan aktiviti padanan perniagaan bagi memperluas jaringan perniagaan ke pasaran baharu”.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, dalam ucapan aluannya pula berkata “Penganjuran MUN dan Minggu PMKS ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030, untuk membudayakan keusahawanan dalam kalangan masyarakat. Minggu PMKS pula secara langsung mengiktiraf peranan dan sumbangan PMKS kepada pembangunan ekonomi negara.

Tambah beliau, pada tahun 2021, 97.4 peratus perniagaan yang didaftarkan di Malaysia terdiri daripada PMKS, merangkumi jumlah keseluruhan melebihi 1.2 juta perniagaan. PMKS telah menyumbang sebanyak RM518.1 bilion atau 37.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 7.32 juta orang”.

Penekanan kepada kepentingan PMKS sebagai tunjang ekonomi negara ini adalah bertepatan dengan nilai teras
Kemampanan dan Kesejahteraan dalam konteks pertumbuhan ekonomi di bawah kerangka Malaysia MADANI.

Sambutan MUN dan Minggu PMKS Peringkat Kebangsaan pada tahun ini juga dimeriahkan dengan 200 reruai di karnival jualan dan gerai pameran termasuk penampilan istimewa reruai selebriti seperti Datin Fouziah Gous,
Erma Fatima, Zarina Zainuddin, Lan Solo dan Betty Rahmad.

Pelbagai aktiviti berkaitan keusahawanan diadakan antaranya sesi khidmat nasihat perniagaan, bicara niaga inklusif dan kuiz keusahawanan. Selain itu, aktiviti-aktiviti lain turut disediakan untuk pengunjung seperti persembahan artis, jualan food truck, pertandingan TikTok, pertandingan solekan, pertandingan mewarna, demonstrasi wrap kereta, demonstrasi dan pertandingan menghias kek, demonstrasi mangkuk tingkat, persembahan buskers dan forum perdana.

Selain KUSKOP dan agensi-agensi di bawahnya, program ini turut mendapat sokongan dan penglibatan daripada pihak-pihak yang terlibat dalam pembangunan PMKS termasuklah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), badan-badan korporat seperti Pos Malaysia Berhad sebagai Rakan Kurier Rasmi dan Unifi Business, Telekom Malaysia Berhad (TM) yang merupakan Rakan Teknologi Eksklusif, institusi-institusi kewangan iaitu Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Malayan Banking Berhad (Maybank) sebagai Rakan Strategik, serta universiti dan persatuan industri.

MUN dan Minggu PMKS 2023 Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka yang berlangsung sejak 7 Julai merupakan lokasi yang kelima selepas penganjurannya di Pulau Pinang (Zon Utara), Sarawak, Melaka (Zon Selatan) dan Pahang (Zon Pantai Timur) sepanjang bulan lalu.

Sabah yang merupakan lokasi terakhir dan bakal menutup MUN dan  Minggu PMKS pada tahun ini akan diadakan dari 15 hingga 16 Julai di Kota Kinabalu.

Hadir sama dalam majlis perasmian ialah Timbalan Menteri KUSKOP, Senator Puan Saraswathy Kandasami; Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok. – SM

(Visited 131 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button