Rencana

Kemudahan internet antara yang kritikal

BELANJAWAN kali ini selain perlu berkisar soal memastikan perut rakyat berisi, perkara yang perlu diberi tumpuan ialah kemudahan internet di negara ini.

Dalam situasi gawat dengan kebanyakan orang tidak dapat keluar untuk ke pejabat dan bekerja dan dipaksa bekerja di rumah, kemudahan internet sangat penting.

Segala urusan dilakukan di dalam talian, tetapi ia tidak didokong dengan kemudahan yang sepatutnya.

Di kebanyakan kawasan tidak perlu bercerita kawasan pedalaman di Putrajaya lain liputan internet masih tidak stabil. Kawasan pinggir bandar seperti Rawang dan Sungai Buloh, situasinya lebih kritikal.

Sesetengah kawasan tidak mempunyai liputan langsung lebih buruk daripada tinggal di kampung.


Justeru Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengulangi hasrat menjadikan kesalinghubungan internet di negara ini dapat diletakkan sebaris dengan utiliti utama negara selepas bekalan air dan elektrik.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa fizikal negara dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin Yassin dua minggu lalu.

Oleh itu beliau meletakkan harapan untuk cadangan polisi itu turut diketengahkan dalam pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat ini.

“Kita berharap kesalinghubungan internet itu akan diterima sebagai utiliti ketiga dan ini tidak melibatkan soal dana kerana dana itu sudah sedia ada.

“Ia mengambil kira polisi menjadikannya sebagai utiliti awam seperti kepentingan bekalan air dan elektrik,” katanya.

Menurutnya, secara asasnya cadangan tentang hasrat tersebut dipersetujui mesyuarat jawatankuasa fizikal negara.

Ramai juga kini menjalankan perniagaan melalui dalam talian sahaja dan sangat bergantung kepada kemudahan internet.

Kita masih mendengar kisah orang ramai terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan liputan internet sedangkan negara kita telah hampir menutup tirai 2020 yang sepatutnya menjadi sebuah negara maju, walaupun tidak tercapai.

Lebih buruk gangguan kemudahan internet ini berlaku hampir setiap saat dan jika dibanding dengan kemudahan asas lain seperti air serta elektrik.

Gangguan sedemikian memberi tekanan kepada orang ramai yang dipaksa bermesyuarat hanya melalui talian demi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Jadi memang wajar perkara ini diberi perhatian utama dalam usaha memulihkan ekonomi negara dan pada masa yang sama memastikan perut rakyat berisi.

 

(Visited 58 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button