Nasional

TH tawar bayaran Dam dan Qurban melalui THiJARI

LEMBAGA Tabung Haji (TH) menawarkan perkhidmatan bayaran Dam dan Qurban melalui aplikasi THiJARI untuk para bakal jemaah haji yang akan melaksanakan Rukun Islam ke lima pada musim haji tahun 1443H/2022.

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi, Mohamed Ameen Abdul Wahab memaklumkan bakal haji boleh membuat pembayaran dam sebelum ke tanah suci, seiring dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji yang menggalakkan pelaksanaan bayaran pada kadar yang ditentukan sebelum sampai di tanah suci.

Pembayaran dam yang diterima ialah untuk Dam Haji Tamattu’ dan Dam Haji Qiran di mana daging Dam ini akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Tanah Suci Makkah. Manakala daging qurban akan diagihkan oleh Bank Pembangunan Islam (IDB) kepada penduduk Islam yang layak terutama di benua Afrika.

Pembayaran Dam adalah pada kadar RM590 bagi seekor kibas manakala pembayaran qurban ialah pada kadar RM955.80 untuk seekor kibas dan RM5,900 untuk seekor lembu.

Pembayaran dam dan qurban ini boleh dilaksanakan melalui THiJARI bermula hari Isnin, 9 Mei 2022 bersamaan 8 Syawal 1443H. Bakal haji dan pendeposit juga boleh membuat bayaran di di mana-mana pejabat TH Cawangan di seluruh negara.

Pelaksanaan qurban ini adalah kerjasama TH dengan IDB yang berpangkalan di Jeddah. Ia juga buat julung kalinya bukan sahaja dibuka kepada bakal-bakal haji tetapi kepada semua pendeposit TH.

Perkhidmatan qurban ini merupakan satu lagi perkhidmatan baru yang ditawarkan TH kepada pendeposit melalui THiJARI.

Untuk menggunakan perkhidmatan pembayaran dam dan qurban, bakal-bakal haji dan pendeposit TH perlu mendaftar sebagai pengguna THiJARI melalui pautan www.thijari.com.my yang amat mudah dan selamat. Setakat ini, jumlah pengguna THiJARI telah pun mencecah hampir 1.5 juta.

THiJARI kini menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam talian antaranya pindahan melalui FPX, permohonan pembukaan akaun TH, rayuan haji, kemaskini maklumat peribadi dan yang terbaru adalah Semakan Terimaan Tawaran Haji serta banyak lagi.

Sempena Hari Raya Aidilfitri, THiJARI turut menyediakan pindahan e-Duit Raya bagi memudahkan pendeposit memberi duit raya kepada sanak saudara yang jauh. – SM

Baca artikel ini juga > TH keluarkan surat tawaran haji kepada 14,306 bakal haji 

(Visited 310 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button