Nasional

Kempen Pembudayaan Norma Baharu dilancar Sabtu ini

BAGI menyemarakkan amalan kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat demi mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini, Kempen Pembudayaan Norma Baharu akan dilancarkan di peringkat kebangsaan, di Johor, Sabtu ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kempen yang akan berlangsung sehingga Disember itu akan dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertempat di Kompleks Sukan Pagoh, Johor.

“Ini bukan soal kepatuhan kepada undang-undang dan peraturan tetapi lebih kepada penghayatan untuk kebaikan bersama, keluarga, jemaah dan masyarakat.

“Petugas barisan hadapan telah berjuang sehabis baik, kini giliran kita semua untuk membantu mereka… kita saling menjaga sesama kita,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Saifuddin berkata, sempena majis pelancaran itu juga, Perdana Menteri akan melancarkan Buku Pembudayaan Norma Baharu Komuniti yang diterbitkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya lagi, kempen yang menyasarkan penyebaran maklumat dari KKM kepada segenap lapisan masyarakat itu akan turut melibatkan penggunaan pelbagai platform.

Platform yang disasarkan ialah media massa, media sosial, papan iklan, jerayawara, program keagamaan, penerbitan poster dan gegantung, ujar Saifuddin.

Tambah beliau, rakyat harus bersama-sama memainkan peranan melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus Covid-19 dan memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak berkenaan.

Meskipun Malaysia merupakan antara negara terbaik mengurus penularan wabak berkenaan namun virus itu masih wujud dan jumlah kes jangkitan boleh bertambah pada bila-bila masa sekiranya orang ramai tidak membudayakan norma baharu.

Ini kerana katanya, masyarakat didapati mula alpa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan situasi ini, contohnya dapat dilihat semasa solat jemaah di masjid yang pada awalnya mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri dan mengamalkan jarak fizikal.

Bagaimanapun, selepas selesai solat, mereka tidak lagi menghayati SOP yang ditetapkan dengan berasak-asak keluar dari masjid.

Mengulas lanjut mengenai kempen itu, Saifuddin turut meminta agensi terlibat dan pemimpin komuniti untuk menyalurkan maklumat lebih kreatif supaya mesej yang disampaikan benar-benar memberi kesan kepada masyarakat.

“Kita tidak seharusnya menekakan kepada hanya mesej mengamalkan penjarakan fizikal meskipun ia aspek yang amat penting… tetapi saya berpendapat, kita harus lebih kreatif dan mengambil inisiatif (dalam mendidik masyarakat mengenai bahaya Covid-19) melalui idea yang bernas,” katanya. – SM

(Visited 185 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button