
Kemiskinan bukan sesuatu yang harus diwarisi – Raja Muda Perlis
KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa kemiskinan bukan sesuatu yang harus diwariskan, sebaliknya perlu dihentikan melalui usaha bersepadu bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Baginda bertitah demikian sempena majlis sumbangan zakat yang turut dihadiri oleh
delegasi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari Ibu Pejabat Kuala Lumpur bersama Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang diadakan di Masjid As-Sakinah, Padang Melangit baru-baru ini.
Delegasi PTPTN Ibu Pejabat Kuala Lumpur diketuai oleh Ketua Eksekutifnya Ahmad Dasuki Abdul Majid bersama Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran, Wan Zawiah Abu Bakar.
Manakala delegasi Yayasan Pelajaran MARA tersebut diketuai oleh Zainal Rashid Zakaria, Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Dana, bersama Abdul Shukor Ibrahim, Pengarah Bahagian Pembangunan Insan, Noor Azri Zainuddin, Pegawai Bahagian Pembangunan Dana, dan Noor Aznira Mohamad Azmi, Pegawai Perhubungan Pendidikan YPM Negeri Perlis.
Dalam titahnya, baginda menegaskan kepentingan pendidikan sebagai elemen utama untuk memutuskan kitaran kemiskinan.
“Pelaburan dalam pendidikan adalah jalan terbaik untuk memastikan generasi masa depan tidak lagi terperangkap dalam lingkaran kemiskinan. Semua pihak perlu berganding bahu dalam menjayakan matlamat ini,” titah Tuanku Raja Muda.
Terdahulu, Program Harapan Kasih PTPTN bersama Yayasan Pelajaran MARA telah dilaksanakan, dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Kampung Gial Mata Ayer. Program tersebut turut melibatkan aktiviti Ziarah Kasih kepada para penerima Bantuan Bulanan anak angkat PTPTN melibatkan pelajar di Maktab Rendah Sains MARA di Perlis, bertujuan memberikan sokongan moral dan motivasi kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan.
Sempena program tersebut juga Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan untuk menyempurnakan penyampaian sumbangan sebanyak RM700 secara tunai setiap seorang kepada seramai 75 orang penerima daripada kalangan Anak Kariah Padang Melangit dan 75 orang lagi dari Anak Kariah Kampung Belukar dengan jumlah penuh bernilai RM105,000 diagihkan MAIPs bagi edisi kali ini.
Para asnaf yang terlibat juga dapat menyaring kesihatan secara percuma dan mendengar ceramah ‘Jauhi Najis Dadah’ daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis dan ceramah ‘Bangun Jiwa Asnaf’ dari pihak MAIPs yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.