Hiburan

Kemesraan Syed Saddiq dan Bella Astillah tarik perhatian warganet

KEMESRAAN antara Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 32, dan selebriti terkenal Bella Astillah, 30, terus mencuri perhatian ramai. Keakraban mereka mula menjadi topik perbualan hangat sejak sama-sama terlibat dalam kempen baju raya sempena Aidilfitri pada Disember lalu, dan kini mereka dilihat sering meluangkan masa bersama, menambah lagi tanda tanya di kalangan peminat.

Terbaharu, kedua-duanya mencuri perhatian apabila menyahut cabaran mendaki Gunung Kinabalu dengan memakai baju tradisional – Syed Saddiq berbaju Melayu manakala Bella mengenakan baju kurung.

“Cabaran gila, kan? Kami berdua panjat gunung pakai baju Melayu dan baju kurung. Semalam dah bawa orang berjalan 7 kilometer, hari ini panjat gunung pula,” tulis Bella di Instagram pada Khamis.

Keakraban mereka mendapat pujian ramai, dengan sebahagian besar pengikut media sosial menyokong hubungan tersebut dan berharap mereka akan bersatu di jenjang pelamin.

Namun, tidak kurang juga yang memberikan teguran kepada Syed Saddiq, yang merupakan wakil rakyat kawasan Muar, Johor. Sesetengah pihak berpendapat bahawa beliau perlu lebih menjaga batas pergaulan dan menampilkan imej sebagai seorang pemimpin yang berwibawa.

“Terlalu awal masuk dunia politik, mungkin dulu kurang masa untuk bersosial. Sekarang baru nak bersosial, tak salah, tapi kena jaga batas. Orang politik diperhatikan ramai, jadi harap jadi contoh baik,” kata seorang warganet, Delo Anthony.

“Sebagai wakil rakyat, jangan sampai imej tercalar hanya kerana perkara sebegini. Banyak mata memerhati, dan sebagai rakyat, kita mahu pemimpin yang menunjukkan teladan,” tambah seorang lagi, Aziah Saad.

Seorang lagi warganet, Faridah Shahadan, meluahkan rasa segan terhadap imej Syed Saddiq sebagai pemimpin: “Sebagai orang Muar, saya rasa segan dengan wakil rakyat begini.”

Dalam pada itu, Bella Astillah sebelum ini menjelaskan bahawa hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar sahabat baik yang berkongsi minat terhadap aktiviti rekreasi.

“Kami memang rapat sebab suka buat aktiviti bersama, termasuk bermain badminton. Syed Saddiq seorang yang aktif dan senang bekerja dengannya,” jelas Bella.

Selain itu, Syed Saddiq turut membuat penampilan khas dalam muzik video Bella berjudul Tapi Bukan Denganmu. Dalam video tersebut, beliau memainkan watak seorang doktor – satu peranan yang menurut Bella, sangat sesuai dengan imejnya.

“Dia bijak, dan itu yang saya perlukan untuk watak dalam muzik video tersebut. Lagipun, dia memang pandai dan berkarisma,” katanya.

Walaupun ada pihak yang skeptikal, keakraban mereka jelas menjadi perbualan hangat dalam kalangan warganet. Sama ada hubungan ini akan berkembang lebih jauh, masa akan menentukan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button