JenayahNasionalNegeri

Zon Maritim Kuala Perlis tahan 16 nelayan Thailand curi kerang

SANGGUP langgar sempadan perairan negara hanya untuk mencuri kerang.

Bagaimanapun perbuatan 16 nelayan Thailand ini berjaya dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis.

Ini berikutan penahanan enam bot fiber di enam lokasi berbeza pada sekitar pukul 1 pagi semalam di sekitar perairan Kurung Tengar, Perlis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi tangkapan ketika sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Perlis pada awal pagi.

“Keenam-enam buah bot fiber tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran dan ditahan pada pukul 12.50 tengah malam hingga 1.15 pagi pada kedudukan 0.23 hingga 0.28 batu nautika dari barat Kurung Tengar, Perlis,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kesemua bot terbabit berpengkalan di Thailand itu melakukan aktiviti menangguk kerang secara haram.

Katanya, keenam bot itu masing dikemudikan oleh seorang tekong bersama awak-awak awak bagi setiap bot menjadikan keseluruhan Orang Yang Di Syaki (OYDS) sebanyak 16 orang.

Katanya, kesemua adalah warga Thailand berumur antara 15 hingga 59 tahun.

“Kesemua tekong, awak-awak dan bot serta hasil tangkapan kerang yang dianggarkan bernilai RM65,000 tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 15 (1) (a) kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tidak memiliki suatu pas yang sah bagi memasuki ke dalam Malaysia.

Kerang amat penting dalam ekonomi dan ia menjadi penanda aras bagi kepelbagaian biodiversiti dan kelestarian sumber perikanan yang terdapat di perairan kita.

Oleh yang demikian, stok kerang harus dijaga secara terurus, sistematik dan mampan agar sumbernya tidak pupus dari perairan negara kita.

Maritim Malaysia juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini. Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162. – SM

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button