Nasional

Kementerian Sumber Asli menafikan dakwaan Menteri Besar Kedah

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah meneliti kenyataan Menteri Besar Kedah dalam  laporan media bertarikh 16 Mei 2025 bertajuk “Sanusi dakwa SOP REE dilengahkan, halang kemajuan negeri SG4”.

Berdasarkan laporan media tersebut, beliau mendakwa seolah-olah berlaku kelewatan disengajakan oleh Kerajaan Persekutuan dalam mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan unsur nadir bumi (REE), dengan niat menghalang kemajuan negeri-negeri SG4.

“NRES ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas. Isu ini telah dijelaskan secara terbuka melalui kenyataan media bertarikh 29 Oktober 2024. SOP Perlombongan REE di Malaysia telah disediakan dan
diedarkan kepada semua Kerajaan Negeri melalui surat bertarikh 20 Disember 2023.

“SOP ini merangkumi panduan lengkap dari sudut teknikal, pematuhan alam sekitar, pemulihan kawasan lombong serta kawal selia \pengeksportan,” kata Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, SOP yang dimaksudkan adalah dokumen rujukan menyeluruh berasaskan perundangan sedia ada. Ia telah disusun untuk membolehkan Kerajaan Negeri menyesuaikan pelaksanaannya mengikut undang-undang negeri masing-masing.

Sehubungan itu, katanya, sebarang kelewatan atau kekangan pada peringkat negeri tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu Kerajaan Persekutuan.

“Kementerian turut menegaskan bahawa sebarang aktiviti perlombongan REE adalah dilarang di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK),

“Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), dan kawasan rizab perlindungan. Bagaimanapun, aktiviti di kawasan lain masih boleh diteruskan, tertakluk kepada pematuhan dasar, akta dan garis panduan yang ditetapkan.

“Berkaitan kenyataan kononnya SOP bagi eksplorasi REE masih belum disediakan, perlu ditegaskan bahawa aktiviti eksplorasi adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Sebagai contoh, di Kedah, ia telah termaktub dalam Enakmen Mineral Kedah 2004 melalui Lesen Mencari Gali dan Lesen Menjelajah. Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dibangkitkan seakan-akan tiada garis panduan yang wujud.

“Tuduhan bahawa Kerajaan Persekutuan sengaja melambatkan pembangunan negeri adalah satu tohmahan yang tidak tepat.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited memastikan pembangunan sektor mineral dijalankan secara bertanggungjawab dan lestari, bukan sahaja demi kemajuan ekonomi, tetapi juga demi kesejahteraan generasi akan datang tanpa mengira mana-mana negeri.

“Amat penting untuk semua pihak, termasuk pemimpin negeri berpegang kepada fakta dan tidak menjadikan dasar sumber asli sebagai alat polemik politik. Rakyat lebih memerlukan kerjasama erat di antara kerajaan
Persekutuan dan negeri untuk mencapai kemajuan yang sebenar,” kata Nik Nazmi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button