Politik

Kemenangan luar biasa: Pemimpin BN berterima kasih kepada Pas, Bersatu

PARA pemimpin Barisan Nasional berterima kasih kepada Pas dan Bersatu kerana menolong calon mereka menang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Slim semalam.

Kemenangan luar biasa dengan majoriti 10,945 undi selepas calon BN Mohd Zaidi Aziz mendapat 13,060 undi merupakan hasil kerjasama yang diberikan oleh rakan dalam Pakatan Nasional itu.

“Kepada Presiden Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang, kepimpinan PAS dan jentera PAS yang turut membantu. Terima kasih dan BN amat menghargainya.

“Sudah tentu, kehadiran pemimpin-pemimpin kanan PPBM juga. Terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kemenangan PRK Slim,” kata Ahli Parlimen BN Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib berharap kepimpinan Perikatan Nasional menggengam erat kepercayaan yang diberikan oleh rakyat bermula dari Himpunan Ummah pada 2018 sehingga kemuncak termeterainya Muafakat Nasional pada 2019.

“Syukur, secara rasmi Saudara Mohd Zaidi Aziz, Calon BN menang dengan majoriti 10,945. Terima kasih kepada pengundi DUN Slim kerana mengundi Barisan Nasional.

“Terima kasih kepada seluruh jentera Barisan Nasional, rakan-rakan dalam Barisan Nasional, Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional, NGO serta semua yang membantu kemenangan calon Barisan Nasional di PRK Slim,” kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Terima kasih pengundi di DUN Slim kerana memberikan mandat besar kepada calon Barisan Nasional. Syabas dan terima kasih kepada seluruh jentera BN, PAS, PPBM dan Friends of BN yang bekerja keras selama tempoh berkempen.

“Kemenangan dengan majoriti besar ini membuktikan bahawa rakyat tidak lagi yakin dan terpedaya dengan janji palsu parti pembangkang,” kata Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.

Lebih manis kata Ka Siang, Barisan Nasional menang di semua daerah pusat mengundi yang mempunyai bilangan pengundi Cina yang ramai.

“Di PDM Sungai Slim Utara yang mempunyai 60.9 peratus pengundi Cina (1,277 orang), majoriti BN menang 304 undi berbanding PRU14 di mana BN kalah 943 undi.

“Di PDM Pekan Slim yang mempunyai 22.9 peratus pengundi Cina (707 orang), majoriti BN menang 694 undi berbanding PRU14 di mana BN kalah 662 undi.

“Di PDM Kuala Slim yang mempunyai 12.4% pengundi Cina (242 orang), majoriti BN menang 767 undi berbanding PRU14 di mana BN kalah 44 undi,” kata Ka Siong.

Kata Ka Siong kemenangan di PDM tersebut satu mesej yang jelas dan lantang yang perlu dihargai oleh Barisan Nasional.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, calon BN, Allahyarham Mohd Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Dun Slim mempunyai 22,749 pengundi di mana 75 peratus pengundi adalah berbangsa Melayu, diikuti kaum India (13 peratus), Cina (10 peratus), dan lain-lain (dua peratus).-SM

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button