Nasional

Pertunjukan air pancur berirama meriahkan sambutan Hari Wilayah Persekutuan

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini akan dihiasi dengan pertunjukkan air pancut berirama dengan pencahayaan di taman rekreasi, pusat beli-belah dan lokasi tumpuan orang ramai selama sebulan bermula 1 Feb ini.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar, berkata pertunjukan yang bermula dari jam 8 malam hingga 10 malam itu dianjurkan bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, KLCC Holdings Sdn Bhd, The Gardens KL dan Pavilion Kuala Lumpur tanpa melibatkan sebarang peruntukan kewangan kerajaan.

“Penganjuran program ini dapat menceriakan lagi Wilayah Persekutuan di samping menambahkan rasa cinta dan sayang kepada Wilayah Persekutuan kita.

“Ia juga sangat bersesuaian untuk aktiviti riadah bersama seisi keluarga sambil menikmati panorama menarik. Ini sekali gus menggalakkan aktiviti pelancongan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Rosida berkata antara kawasan yang terlibat ialah di KLCC Lake Symphony Fountain, Crystal Fountain Pavilion Kuala Lumpur, The Gardens KL Fountain, Kolam Biru River Of Life (Jalan Leboh Pasar Besar), Air Pancut Tasik Putrajaya di Presint 2 dan Bulatan Marlin, Jalan Merdeka di Labuan dengan tiada sebarang caj dikenakan untuk menyaksikannya.

Selain itu, beliau berkata program pencahayaan turut diadakan dari 30 Jan hingga 2 Feb melalui pemasangan lampu secara festive mood di semua premis dan bangunan di Kuala Lumpur bagi menyemarakkan suasana Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2023. — BERNAMA

(Visited 230 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button