Politik

Keupayaan Tun Dr Mahathir pimpin negara keutamaan rakyat di Sabah

Peralihan kepimpinan negara bukan keutamaan bagi negeri Sabah, tetapi adalah keupayaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin Malaysia setelah kerajaan hari ini dipilih oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum lepas.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau telah menyuarakan pendapatnya sebagai Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan, mengenai pentingnya tumpuan diberikan kepada Dr Mahathir untuk memimpin negara sebagai perdana menteri.

“Peralihan (kepimpinan) bukannya mudah. Ia (peralihan kepimpinan) bukanlah keutamaan (bagi Sabah). Rakyat mahu ada peluang pekerjaan (walaupun) ekonomi semakin mencabar di pentas dunia,” katanya kepada pemberita selepas program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tiga syarikat berkaitan kerajaan di Semporna.

Menurut Mohd Shafie, tumpuan harus diberikan untuk memulihkan ekonomi negara selaras dengan tuntutan rakyat untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Dr Mahathir bahawa tiada tarikh ditetapkan bagi peralihan jawatan perdana menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) malam semalam.

Pada majlis CSR itu, Mohd Shafie menyampaikan beg dan peralatan sekolah serta wang saku kepada 1,200 pelajar memerlukan di Semporna yang disumbangkan Sabah Electricity Sdn Bhd, Tenaga Nasional Bhd dan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada pelajar berkenaan yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun.

— BERNAMA

 

(Visited 46 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button