Politik

Kemelut politik: Agong boleh ambil alih kuasa eksekutif – Isma

IKATAN Muslimin Malaysia (Isma) memberikan tiga cadangan penyelesaian kemelut politik kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan.

Ketiga-tiga cadangan tersebut adalah berlandaskan kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuklah pengambil alihan kuasa dan perintah darurat.

Cadangan tersebut dikemuka selepas rakyat negara ini masih lagi berteka-teki mengenai kesudahan kemelut perebutan kuasa politik yang melanda.

Malah, polemik tersebut juga merisaukan rakyat apabila negara sedang berhadapan krisis kesihatan berikutan penularan wabak Koronavirus (Covid-19) yang memasuki gelombang ketiga.

“Saya yakin keperihatinan Yang di-Pertuan Agong terhadap rakyat mendahului berbanding kepentingan terhadap orang politik.

“Namun jika orang politik masih keras kepala, Yang di-Pertuan Agong ada 3 pilihan :-

“i. Membubarkan parlimen menurut Perkara 55 (2):

“Perkara 55(2) “Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen”.

“Dalam keadaan penularan wabak Covid-19 sekarang, pilihan ini mempunyai risiko yang amat tinggi yang boleh menyebabkan kematian dikalangan rakyat.

“ii. Mengumumkan darurat menurut Perkara 150 (1)

“Pilihan kedua ini boleh dilakukan seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan :-

“Perkara 150 (1) “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.”

“Pilihan ini pernah dilakukan pada tahun 1943 dan 1969 tetapi risikonya ialah banyak akta-akta yang ada hari ini mungkin tidak dapat dilaksanakan termasuk Akta Jenayah.

“iii. Ambil alih kuasa menurut Perkara 39

“Pilihan ini agak lebih ringan risikonya tetapi kaedah dan tatacaranya perlu diperhalusi agar tidak menimbulkan kekeliruan dikalangan rakyat.

“Perlembagaan Persekutuan memberikan provisi kepada pilihan ini : –

“Perkara 39: ‘Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan manamana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.’.”

Demikian penjelasan Presidennya, Aminuddin Yahaya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebooknya malam tadi.

Dalam pada itu, beliau mendakwa situasi yang dihadapi negara sekarang adalah berpunca daripada pengumuman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan Anwar yang menghadap Yang di-Pertuan Agong, As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober lalu tidak mempersembahkan senarai Ahli Parlimen yang menyokong.

Keadaan itu didakwa menimbulkan persoalan kepada baginda untuk bersetuju kerana dokumen yang dipersembahkan hanyalah sekeping surat daripada ketua-ketua parti.

“Logiknya sudah pasti tidak.

“Selaku Ketua Negara, Yang di-Pertuan Agong kena berlaku adil kepada semua pihak.

“Satu kenyataan umum tidak mungkin boleh diterima tanpa Yang di-Pertuan Agong membuat analisis terperinci termasuk bukti lengkap setiap ahli parlimen yang terlibat,” katanya.

Tambahnya, rakyat yakin kepada baginda dalam menyelesaikan krisis politik ini berdasarkan tindakan ketika perletakan jawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Februari lalu. – SM

 

 

(Visited 250 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button