Hiburan

Sampai bila kemelut balu Allahyarham Abam, Hidayah & Ali Puteh?

Kedua-dua pihak memfailkan tuntutan di mahkamah

KEMELUT yang melanda isteri dan adik lelaki allahyarham pelawak, Abam Bocey masih berlanjutan sehingga memfailkan tuntutan di mahkamah. Jika ini bukan dikatakan saman menyaman, apakah istilah yang tepat untuk menggambarkan keadaan tersebut?

Sedih apabila allahyarham Abam yang meninggalkan seorang isteri, Nor Hidayah Mohd. Ali dan seorang anak lelaki, berantakan dengan keluarga sebelah Abam terutamanya adik lelaki Abam, Ali Puteh.

Kemelut itu semestinya memalit sama ibu allahyarham, Sabarah Arshad dan hari ini, Nor Hidayah terpaksa menggunakan khidmat peguam untuk mempertahankan dirinya.

Peguam yang mewakili balu allahyarham Abam, Mohamed Ibrahim Mohamad menjelaskan, tiada sebarang saman dikemukakan oleh anak guamnya terhadap ibu mentuanya, Sabariah Arshad seperti mana yang didakwa oleh Ali Puteh.

Sebaliknya, ujar Mohamed Ibraham, Sabariah bersama beberapa ahli keluarga allahyarham Abam yang lain telah bertindak memfailkan saman terhadap Nor Hidayah.

“Kes ini bermula apabila kami memfailkan satu saman bagi pihak Hidayah terhadap Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan yang dikatakan, mengeluarkan beberapa kenyataan yang menurut anak guam kami, Hidayah, berunsur fitnah terhadap dirinya.

“Kes ini difailkan sekitar Mei lalu dan baru-baru ini, Syed Ali memfailkan satu lagi saman terhadap Hidayah.

“Tindakan saman yang dikeluarkan oleh Syed Ali turut bersama ibu, bapa dan kakak allahyarham Abam. Ini adalah tindakan yang berasingan yang dimulakan oleh kedua-dua belah pihak,” kata Peguam Mohamed Ibrahim.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini, terdapat usaha untuk menggabungkan dua tindak itu, kata beliau.

“Kami ingin menjelaskan di sini bahawa kami tidak, pada bila-bila masa, menyaman ibu kepada Ali (Syed Ali, ibu allahyarham Abam).

“Tindakan saman hanya terhadap Ali tanpa ahli keluarga yang lain,” ujar beliau lagi.

Insya-Allah, perbicaraan tuntutan akan digabungkan di didengar di mahkamah tidak lama lagi, kata Mohamed Ibrahim.

Sementara itu, menerusi kes berkaitan di Mahkamah Syariah yang membabitkan hak penjagaan anak dan faraid, Nor Hidayah diwakili peguam syarie, Fadhlina Datuk Siddiq, menjelaskan bahwa tuntutan dibuat, tiada kaitan dengan isu saman menyaman.

“Kes pertama ialah berkaitan dengan faraid. Ia tiada kaitan dengan saman menyaman kerana prosiding faraid untuk mengesahkan, waris-waris kepada arwah sahaja dan kita sudah mengenal pasti waris terbabit.

“Tidak timbul isu saman kepada mana-mana pihak melainkan untuk pengesahan sahaja iaitu siapakah waris yang berhak,” katanya.

Sambung beliau lagi, “keduanya adalah berkiatan dengan hak penjagaan anak yang mana prosiding itu dimulai dengan saman kerana memberi ruang keadilan kepada semua pihak untuk hadir ke mahkamah demi menjaga kebajikan cucu iaitu anak kepada allahyarham Abam.

“Jadi, pihak ini dipastikan, hendaklah semuanya datang ke mahkamah bagi menguruskan isu berkaitan dengan hak penjagaan anak.

“Sekali lagi, tidak timbul isu saman menyaman yang saya rasa, pihak-pihak tertentu dan orang awam di luar sana kena faham dari segi prosiding mahkamah,” kata Peguam Fadhlina dalam memberikan pencerahan yang panjang lebar supaya semua pihak faham akan situasi.

Fadhlina turut menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan komen-komen yang tidak sahih kerana fakta kes hanya akan dibentangkan di dalam kamar mahkamah sahaja (court room).

Kata beliau, jangan buat andaian liar (spekulasi) atau membuat anggapan (tanggapan) yang tidak betul.

“Biar mahkamah yang tentukan dalam menilai dan menjaga kepentingan serta keadilan semua pihak,” tegas Fadhlina.

Beliau berkata, “saya ingin menegaskan di sini, prosiding sudah bermula. Jadi, semua pihak harus menghormati proses mahkamah.

“Saya juga sudah menasihati Hidayah (anak guam yang juga isteri allahyarham Abam) supaya tidak membuat atau pun memberi sebarang kenyataan,” kata Fadhlina.

Untuk rekod pembaca SUARA MERDEKA, kemelut tercetus di antara Ali Puteh (Syed Ali, adik allahyarham Abam) dengan balu allahyarham, Nor Hidayah (Hidayah) sejak Februari lalu.

Kemelut itu nampaknya berlanjutan sehingga kini, kedua-dua belah pihak saling memfailkan saman di mahkamah termasuk menentukan hak penjagaan anak tunggal allahyarham Abam.

Amanat allahyarham Abam kepada isterinya, Hidayah… jaga anak baik-baik. – SUMBER HARIAN METRO – SM

(Visited 1,079 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button