Nasional

Kematian tinggi: Dr. M minta pesakit Covid kategori 3 dirawat di hospital

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) diminta supaya turut memberi perhatian terhadap pesakit Covid-19 kategori 3 berikutan bilangan kematian semakin bertambah termasuk kematian di rumah.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ketika ini pesakit kategori 1,2, dan 3 diarah supaya kuarantin di rumah sementara pesakit kategori 4 dan 5 dirawat di hospital.

Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, pesakit kategori 3 sudah pun menunjukkan paru-paru mereka dijangkiti virus dan keadaan mereka menjadi lebih teruk kerana tidak mendapat apa-apa rawatan di rumah.

Katanya, keluarga di rumah tidak dapat memberi apa-apa pertolongan kerana tidak boleh berada dekat dengan pesakit dan tidak mempunyai alat rawatan.

“Doktor tidak dapat dipanggil. Pesakit jadi lebih teruk. Oksigen tidak ada di rumah. Dan akhirnya pesakit meninggal dunia.

“Saya percaya kumpulan ketiga ini boleh diselamatkan. Mereka tidak begitu ramai. Hospital sementara boleh diadakan. Hospital ini hanya dibekal oksigen dan diadakan beberapa doktor dan jururawat.

“Lebih seribu pesakit kategori 3 boleh dikuarantin di hospital sementara.
“Pihak tentera boleh bina hospital ala field hospital. Dewan-dewan di hotel dan bangunan lain boleh dilengkap dengan katil, oksigen dan doktor serta jururawat,” kata Dr. Mahathir.

Jumlah kematian yang dilaporkan sejak beberapa minggu yang lalu melabihi 250 orang sehari.

Semalam sejumlah 282 kematian dilaporkan dengan 184 kematian berlaku di hosital dan 98 lagi mati di rumah. Sehingga kini Malaysia mencatatkan 16,664 kematian akibat jangkitan Covid-19.

Bilangan kematian yang tinggi disebabkan jumlah jangkitan harian yang juga begitu tinggi.

Dr. Mahathir turut mencadangkan agar pasukan doktor dan jururawat melawat pesakit kategori 1 dan 2 yang dikuarantin di rumah.

“Dengan itu jika ada pesakit yang menjadi lebih teruk oksigen boleh diberi. Dalam kes yang serius mereka boleh dipindah ke hospital atau hospital untuk pesakit kategori 3.

“Saya harap cadangan saya ini diterima oleh Kementerian Kesihatan. Saya percaya jumlah kes baru dapat dikurangkan. Dan juga jumlah kematian,” kata Dr. Mahathir.

Sehingga semalam Malaysia mencatatkan 267,863 kes aktif dengan 1,005 orang pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi dan 463 daripada mereka memerlukan bantuan alat pernafasan.-SM

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button