Ekonomi

NGOS bantu individu disenarai hitam institusi kewangan

DIISYTIHAR muflis atau disenarai hitam oleh institusi dan agensi kewangan sememangnya merupakan perkara tidak diingini sesiapun.

Bagaimanapun, akibat kelemahan pengurusan kewangan, ramai yang terjerumus dan jika ini berlaku ia sering memakan masa yang agak lama untuk keluar daripada bebanan itu.

Tetapi kini, atas inisiatif sebuah syarikat swasta, Erbe Financial Advisor, individu yang disenarai hitam termasuk golongan yang muflis, boleh dibersihkan kembali nama mereka dalam tempoh hanya 45 hari sehingga enam bulan, mengikut kes masing-masing melalui Strategi Lautan Hijau Kebangsaan (NGOS).

Pengarah Urusan Erbe Financial Advisor Datuk Muhammad Amir Abdullah berkata program NGOS menyasarkan individu yang mempunyai hutang lapuk, keberhutangan yang tinggi, individu yang terlibat dengan pinjaman haram dan mereka yang diperdaya untuk membuat pinjaman serta pelaburan palsu.

“NGOS merupakan inisiatif syarikat kami untuk membantu golongan yang disenarai hitam dan muflis untuk memulakan hidup baharu dengan rekod kewangan yang bersih terutama selepas tahun 2020 yang sukar akibat dilanda wabak COVID-19 dan ramai yang hilang punca pendapatan,“ katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini hari ini.

Katanya, melalui inisiatif itu, pihaknya akan membantu menyusun semula hutang-hutang pelanggan dan menyelesaikan masalah kredit mereka dengan agensi kewangan, sama ada bank, koperasi malahan syarikat kredit komuniti.

“Selain itu, melalui program ini juga kita akan memberi pendidikan pengurusan sistem kewangan untuk mereka menguruskan kewangan dengan lebih baik pada masa hadapan,” katanya menambah permohonan NGOS hanya diterima menerusi laman web www.ngos.com.my dan setiap pemohon akan dinilai jumlah hutang mereka sebelum perunding kewangan membuat sebarang perancangan.

Jelas beliau, jumlah pendapatan pemohon juga akan diambil kira sebelum perunding syarikat menghubungi institusi dan agensi kewangan yang terlibat untuk mengesyorkan pinjaman yang berpatutan untuk melunaskan semua hutang yang menyebabkan seseorang individu itu disenarai hitam.

Katanya, bayaran sebanyak 10 peratus daripada jumlah pinjaman baharu yang diluluskan akan dikenakan syarikat terhadap pelanggan.

“Dengan ini individu itu kini tidak lagi disenarai hitam, bagaimanapun beliau harus disiplin dalam menguruskan kewangan antaranya membayar hutang baharu mengikut jadual dan berbelanja mengikut kemampuan,” katanya.

Tambah Muhammad Amir, sejak syarikat berkenaan ditubuhkan lima tahun lepas, pihaknya telah berjaya membantu ramai individu keluar daripada senarai hitam dengan jumlah hutang yang telah berjaya diselesaikan berjumlah RM60 juta.

Katanya, pada tahun ini melalui pengenalan NGOS, pihaknya optimis akan mencapai jumlah RM100 juta jumlah hutang yang berjaya diselesaikan.

“Kita percaya bagi tahun ini, lebih ramai individu akan mengalami kesukaran untuk melaksanakan tanggungjawab kredit mereka berikutan pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai orang, sama ada hilang punca pendapatan atau mengalami penurunan jumlah pendapatan.

“Oleh itu, NGOS merupakan platform terbaik untuk rakyat Malaysia yang terjejas untuk menyusun semula komitmen kewangan mereka untuk mengelak daripada disenarai hitam atau keluar daripada senarai hitam,” katanya.

Tambah Muhammad Amir, sekiranya lebih banyak individu berjaya dikeluarkan dari senarai hitam dan mempunyai kewangan yang stabil, ia akan membawa keuntungan kepada negara daripada segi ekonomi dan sosial negara.

“Kita boleh lihat banyak individu melakukan jenayah kerana kesempitan wang, jika kita berjaya selesaikan masalah kewangan mereka …saya yakin sedikit sebanyak masalah jenayah akan dapat dikurangkan.

“Individu yang tidak disenarai hitam dan stabil dari segi kewangannya, tidak tertekan dan lebih produktif dalam melakukan kerja malah mereka juga mempunyai wang untuk dibelanja,” katanya menambah situasi ini pastinya memanfaatkan negara. – BERNAMA

(Visited 394 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button