Ekonomi

MDEC tawar pelbagai kursus percuma melalui kerjasama dengan syarikat teknologi global terkemuka

MALAYSIA Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, hari ini  mengumumkan kategori baharu dalam Direktori Latihan Kemahiran Digital MDEC, iaitu “Belajar Secara Percuma”,
bagi menyokong peningkatan kemahiran dan latihan semula bakat Malaysia, dalam menuju ke arah pemulihan ekonomi negara.

Menurut dapatan utama dalam Laporan Pekerjaan Masa Depan 2020 oleh World Economic Forum, jurang dalam kemahiran dijangka terus wujud, di mana permintaan kemahiran dijangka berubah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Secara purata, syarikat-syarikat menjangkakan sekitar 40 peratus pekerja mereka memerlukan latihan kemahiran semula selama enam bulan atau kurang, dan 94 peratus barisan pengurusan perniagaan menjelaskan bahawa mereka mengharapkan pekerja mereka memiliki kemahiran baharu dalam melaksanakan pekerjaan.

Laporan berkenaan juga mendedahkan bahawa menjelang 2025, sebanyak 85 juta pekerjaan dijangka akan diganti berikutan peralihan ke arah pembahagian kerja antara manusia dan mesin, selain peningkatan dalam pertindihan peranan.

Dalam konteks ekonomi digital, Malaysia telah meningkatkan sasaran sumbangan ekonomi daripada sektor berkenaan, daripada 22.6 peratus kepada 25.5 peratus menjelang 2025, seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Sasaran baharu ini bermakna, agensi digital negara mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dalam melahirkan tenaga kerja digital yang mahir.

“Proses pendigitalan telah diguna pakai oleh syarikat-syarikat sebelum pandemik COVID-19 berlaku lagi. Ini telah meningkatkan keperluan untuk bakat kita dilatih semula dan ditingkatkan kemahiran, untuk memenuhi keperluan pasaran yang berubah dengan pantas.

“Bagi melaksanakan salah satu teras dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), MDEC dengan kerjasama syarikat teknologi global terkemuka telah menawarkan kursus latihan yang mendapat permintaan rakyat Malaysia menerusi Direktori Latihan Kemahiran Digital.

“Melalui inisiatif baharu ini, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat memulakan perjalanan latihan semula mereka,” Dr. Sumitra Nair, Ketua Pegawai Kemahiran Digital dan Kerjaya, MDEC.

Bagi menangani pasaran pekerjaan yang kerap berubah, kategori terbaharu ini akan menawarkan latihan percuma menerusi kerjasama antara MDEC dan syarikat teknologi global terkemuka.

Inisiatif ini akan dimulakan dengan kursus yang dibawa oleh Facebook, Google dan IBM serta akan dikembangkan lagi untuk menarik lebih ramai rakan teknologi pada 2022.

Sebagai permulaan, kursus-kursus yang ditawarkan adalah dalam bidang pemasaran digital, latihan kerjaya bebas, pengkomputeran awan dan pengkomputeran kuantum, Kecerdasan Buatan (AI), Blockchain, keselamatan siber, sains data dan teknologi baharu muncul.

Selain daripada “Belajar Secara Percuma”, Direktori Latihan Kemahiran Digital MDEC juga menawarkan kursus berbayar melalui tiga kategori lain iaitu “Kerja dan Belajar”, “Meningkatkan Kerjaya” dan “Latihan atas Permintaan”.

Dilancarkan pada 24 Ogos 2020, Direktori Latihan Kemahiran Digital ini berperanan sebagai panduan sehenti untuk kemahiran semula dan peningkatan kemahiran bagi sektor digital. Ia menawarkan kursus dan latihan dalam talian yang telah disemak dan diluluskan oleh Rangkaian Tenaga Kerja Berkepakaran (TEN) MDEC.

TEN MDEC terdiri daripada wakil-wakil industri serta pakar dalam pelbagai bidang teknologi digital.

Kini terdapat lebih daripada 300 kursus disenaraikan dalam Direktori Latihan Kemahiran Digital.

Untuk maklumat lanjut mengenai Belajar Secara Percuma;, sila layari https://mdec.my/learn-for-free/.

 

(Visited 762 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button