Nasional

Kematian akibat kemalangan jalan raya lebih tinggi berbanding COVID-19 – Loke

Bahaya kemalangan jalan raya dan kematian akibat nahas tersebut disifatkan lebih besar berbanding kes COVID-19.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keadaan itu semakin membimbangkan kerana literasi komuniti jalan raya di negara ini masih berada pada tahap tidak memuaskan.

Justeru tegas beliau, persepsi tersebut perlu diubah bagi memastikan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya dapat dikurangkan.

“Banyak pihak yang telah mencadangkan kepada saya bahawa kempen kita mesti mengambil kira bagaimana kita memberikan kesedaran kepada orang ramai bahawa nahas atau kemalangan jalan raya ini bahayanya lebih besar daripada COVID-19.

“Kalau masa COVID-19, setiap hari ada membuat laporan, berapa orang kena COVID-19 dan berapa kematian dan sebagainya.


“Sebenarnya kadar kematian di atas jalan raya lebih banyak daripada orang meninggal disebabkan COVID-19.

“Ini sesuatu yang amat membimbangkan kita. Tetapi kesedaran dan kebimbangan orang ramai terhadap kemalangan jalan raya ini tidak sebesar kebimbangan mereka terhadap COVID-19. Persepsi itu mesti kita ubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan di kawasan Rehat & Rawat Dengkil (Arah Utara).

Hadir sama Menteri Kerja Raja, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 1.3 juta individu maut setiap tahun akibat kemalangan jalan raya, manakala antara 20 dan 50 juta lagi mengalami kecederaan termasuk hilang upaya.

Laporan berkenaan menyatakan, lebih daripada 90 peratus kematian lalu lintas jalan raya berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Mengulas lanjut, Loke berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Januari hingga Disember 2021, sebanyak 370,286 nahas jalan raya telah direkodkan dengan 4,539 kematian.

Manakala, dari Januari hingga September tahun lalu, sebanyak 402,626 nahas jalan raya direkodkan dengan 4,379 kematian.

“Ini angka-angka yang cukup besar, yang menyakitkan hati kita. Melihat begitu ramai yang terbunuh di atas jalan raya.

“Selain daripada itu, berdasarkan data Op Selamat daripada PDRM sebanyak 11,325 kes kemalangan jalan raya, dengan sebanyak 108 kes kemalangan maut dan 119 kes kematian direkodkan di sepanjang tempoh pelaksanaan Op Selamat Tahun Baharu Cina pada 2022.

“Kadar kematian sebanyak 119 pengguna jalan raya pada 2022 merupakan kadar yang membimbangkan,” katanya lagi.

Loke menambah setiap nahas jalan raya bukan sahaja mencetuskan kerugian ekonomi dengar anggaran RM3.12 juta seorang, tetapi turut membawa kepada impak kewangan yang amat tinggi.

“Ini bagi tujuan pembaikan infrastruktur, bayaran pampasan, kos perubatan dan lain- lain kos.

“Nahas jalan raya juga turut membawa kepada implikasi negatif kepada tahap efisiensi sistem pengangkutan jalan raya (seperti kesesakan lalu lintas, kehilangan masa, pembaziran sumber kewangan), yang mutakhirnya akan menjana kesan negatif kepada aspek kemajuan sosio-ekonomi dan pembangunan negara, amnya,” ujar beliau lagi.

(Visited 22 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button