Nasional

4 Kementerian ‘jangan tidur’: Kerajaan perlu ambil perhatian syor MPN

KERAJAAN disaran menumpukan sepenuh usaha dalam memastikan nikmat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai seluruh rakyat Malaysia yang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, selepas meneliti pembentangan masing-masing, empat kementerian harus bergerak secara lebih proaktif dalam memastikan apa yang disyorkan oleh MPN itu diberikan perhatian oleh Kerjaan.

Menurut Muhyiddin, Majlis mengesyorkan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memastikan kesiapsagaan sistem kesihatan awam negara tentang Covid-19.

PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat setiap bulan untuk pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

KKM tegas Muhyiddin, mestilah sentiasa ditambahbaik bagi menampung sebarang peningkatan jangkitan Covid-19.

“Majlis juga ingin mengingatkan orang ramai supaya memainkan peranan masing-masing termasuk mengambil dos penggalak vaksin dalam usaha mengawal jangkitan Covid-19 bagi melindungi diri dan keluarga,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini usai mempengerusikan Mesyuarat MPN.

Muhyiddin juga berkata, Kerajaan juga perlu memandang serius syor Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai Strategi dan Intervensi bagi Mengatasi Masalah Keciciran Pembelajaran di Kalangan Murid Sekolah.

“Mesyuarat memandang serius masalah keciciran pembelajaran murid sekolah dan mengesyorkan tindakan lanjutan perbandingan pencapaian antarabangsa atau global benchmarking oleh KPM.

“KPM perlu mengenalpasti faktor-faktor keciciran pembelajaran murid bagi memastikan intervensi dan satu jalan penyelesaian yang holistik dapat dilaksanakan secara berkesan bagi memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya.

Tambah beliau, satu lagi kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengenai Laporan Menyeluruh Bantuan Kewangan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) perlu merangka satu pelan penyelesaian untuk mengatasi masalah aliran tunai golongan PMKS.

“Oleh itu, Majlis berpandangan Kerajaan perlu merangka satu pelan penyelesaian yang lebih menyeluruh terutamanya bagi menyelesaikan masalah aliran tunai dan kekurangan tenaga kerja yang masih dihadapi oleh hampir kesemua PMKS,” tegas Muhyiddin.

Beliau juga berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan sistem perbankan di Malaysia perlu memainkan peranan yang lebih proaktif bagi membantu meringankan beban usahawan atau peniaga PMKS dalam permohonan pinjaman kewangan.

Dalam mesyuarat MPN yang sama baru-baru ini, Majlis turut menyentuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengenai Status Pelaksanaan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022.

Majlis berpendapat, tempoh pemulihan empat tahun yang diunjurkan oleh MOTAC adalah terlalu panjang, ujar Muhyiddin.

Sehubungan itu, kata Muhyiddin, Majlis mengesyorkan kepada Kerajaan supaya mempertingkatkan lagi inisiatif penggalakan pelancongan dan penambahbaikan infrastruktur secepat mungkin bagi memastikan industri pelancongan Malaysia kekal berdaya saing dan tidak ketinggalan dalam gelombang pemulihan rantau Asia Tenggara.

“Kegagalan memulihkan industri pelancongan Malaysia dengan agresif akan merencatkan usaha pemulihan ekonomi negara. Maka itulah Majlis memandang serius kenaikan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

“Dan walaupun kadar inflasi di negara ini adalah antara yang terendah di Asia Tenggara namun impak inflasi tetap dirasai oleh segenap lapisan masyarakat dan berpotensi menghambat proses pemulihan ekonomi pasca pandemik,” tegas Muhyiddin. – SM

(Visited 150 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button