Nasionalpilihan

KEMAS lancar Pelan Anti Rasuah Organisasi, bendung gejala rasuah

PELAN Antirasuah Organisasi (OACP) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) 2022-2026 yang dilancarkan   hari ini, membuktikan pendirian jabatan itu dalam mendukung usaha pemantapan tadbir urus, integriti dan antirasuah.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pelan yang menggariskan lima bidang keutamaan itu menampilkan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Pendidikan Kemahiran, Pembangunan Komuniti, Tadbir Urus dan Perolehan.

“Daripada lima bidang keutamaan itu, lima strategi telah dikenal pasti merangkumi enam objektif dengan 25 inisiatif secara keseluruhannya yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun (2022-2026) oleh warga KEMAS di semua peringkat”.

Tambah beliau, bagi memastikan keberkesanan pelan ini, pelaksanaan semua inisiatif  akan dipantau dan dinilai secara konsisiten dengan mengambil kira maklum balas, panduan dan nasihat daripada pelbagai pihak agar usaha yang dijalankan ini sentiasa relevan dan dapat diukur tahap keberkesanannya.


Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Pelancaran OACP KEMAS di sini hari ini. Hadir sama Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Jelas Abdul Rahman, visi OACP KEMAS iaitu “KEMAS Berintegriti Rasuah Diperangi” akan dapat dicapai sekiranya setiap warga KEMAS membudayakan konsep pencegahan serta memelihara integriti dalam pelaksanaan tanggungjawab dan tugasan harian.

“Ini termasuk menolak amalan rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa serta mengamalkan polisi tidak menerima hadiah dari mana-mana individu mahupun syarikat kepada warga KEMAS.”

KEMAS melalui Unit Integriti aktif berkempen melalui siri ceramah, forum dan taklimat ’Whistle Blower’ di seluruh negara untuk memberi kesedaran kepentingan menangani gejala rasuah.

Turut diadakan program atas talian ’Bicara Integriti & Anti Rasuah KEMAS’ secara langsung di Facebook: KEMAS Official.

Pelancaran OACP KEMAS adalah selaras Inisiatif 2.1.5. Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 di bawah Strategi kedua iaitu Memperkukuh Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan, dengan mewajibkan sektor awam untuk membangunkan pelan antirasuah di peringkat organisasi masing-masing. – SM

Artikel berkaitan > KEMAS terima pengiktirafan Readers Digest sebagai Jenama Paling Dipercayai

(Visited 49 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button