Sukan

Sukan SEA: Bola jaring Malaysia benam tuan rumah 88-25

MALAYSIA berada dalam laluan yang tepat untuk mempertahankan pingat emas bola jaring Sukan SEA, selepas membenam pasukan tuan rumah Filipina 88-25 pada perlawanan pusingan awal, di Manila.

Walaupun berhadapan penyokong tuan rumah yang bersemangat di Kompleks Sukan Santa Rosa, Laguna, pemain negara menunjukkan kehebatan dan kehandalan mereka sebagai juara bertahan, dengan menang dengan jurang mata yang besar.

Juara dua kali itu bermula dengan baik, dengan mendahului 23-7 pada suku pertama, sebelum pasukan tuan rumah cuba mengurangkan jurang pada suku kedua, namun pasukan Malaysia berjaya mengekalkan momentum dengan mendahului 44-15.

Dengan kelebihan ketinggian pemain, Malaysia menambah jaringan untuk menang perlawanan kedua mereka, selepas mengalahkan Thailand 62-42, pada perlawanan pertama, semalam.

Pemain pertama negara yang beraksi dalam liga di luar negara, bersama kelab Australia, GWS (Greater Western Sydney) Fury, An Najwa Azizan akui, permainan mereka hari ini lebih baik daripada semalam.

“Tentunya satu permulaan yang baik, rancangan permainan kami pada perlawanan pertama agak kelam kabut, namun kami boleh lihat perubahan dalam perlawanan kedua. Hasrat kami ialah memperbaikinya setiap perlawanan dan menjalankan rancangan permainan untuk hari tersebut,” katanya kepada media Malaysia selepas perlawanan.

Malaysia akan bertemu Brunei pada Khamis, sebelum menamatkan perlawanan pusingan ‘round robin’ menentang pesaing utama, Singapura pada Jumaat.

“Kami lihat Brunei agak sukar, tetapi kami ada rancangan permainan sendiri, dan kami akan laksanakan. Bertemu Singapura, semua di Sukan SEA telah meningkat, jadi kami perlu bermain lebih baik,” kata pemain yang ketinggiannya mencecah 1.79 meter.

Sementara itu, jurulatih pasukan Tracey Robinson berkata, pasukan itu perlu mengambil serius setiap perlawanan dan bekerja keras di sepanjang keseluruhan 60 minit, sambil memfokuskan untuk bermain lebih baik.

“Perlawanan menentang Filipina ini antara yang amat penting, kami mahu bermain lebih baik dari semalam dan kami berjaya lakukannya. Brunei adalah satu pasukan yang bagus, kami adalah pasukan tertinggi di sini, tetapi ia semuanya berkaitan dengan permainan,” katanya.

Mengikut format, pasukan menduduki tempat teratas dalam round robin akan bertemu pasukan di tempat keempat, manakala pasukan di tempat kedua akan bertemu pasukan di tempat ketiga pada peringkat separuh akhir yang dijadualkan pada 1 Dis.

Untuk rekod, dalam tiga edisi Sukan SEA yang mana bola jaring dipertandingkan, Malaysia menang emas dua kali, kedua-duanya ketika negara menjadi tuan rumah pada 2001 dan 2017, manakala Singapura memenanginya ketika mereka menjadi tuan rumah pada 2015. – BERNAMA

(Visited 131 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button