KesihatanNasionalPenyakit

KEMAS ambil langkah awal cegah penularan HFMD di TABIKA dan TASKA

JABATAN Kemajuan Masyarakat, (KEMAS) sentiasa memantau perkembangan serta mengambil langkah proaktif dalam menangani penularan Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD) di premis Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA).

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, ibubapa dan penjaga tidak perlu risau kerana pihak KEMAS sentiasa memantau setiap hari kehadiran kanak-kanak yang hadir ke TABIKA dan TASKA.

“Kita telah minta semua Pendidik Masyarakat TABIKA berjumlah 12,043 orang  dan Pendidik Masyarakat TASKA seramai 1,837 orang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan membuat saringan awal seperti mengukur suhu badan setiap kali kanak-kanak ini hadir ke kelas.

Bila tamat sesi pembelajaran juga kita buat pemerhatian dan jika terdapat kanak-kanak mempunyai simptom jangkitan, ibubapa akan dimaklumkan segera untuk membawa anak mereka mendapat rawatan doktor. ”

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika di Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri Bersama Warga KEMAS Negeri Pahang. Foto: UKK KPLB

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri Bersama Warga KEMAS Negeri Pahang di sini hari ini.


Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Jelas Mahdzir, kanak-kanak TABIKA dan TASKA KEMAS juga akan diasingkan jika didapati mempunyai gejala HFMD bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada kanak-kanak lain.

KEMAS juga katanya telah mengedarkan Garis Panduan Pencegahan Penularan Penyakit Berjangkit ke seluruh TABIKA dan TASKA sebelum ini.

“Kita nasihatkan kepada ibubapa supaya memantau kesihatan anak-anak yang ada gejala seperti demam tanda-tanda ulser pada mulut dan lidah, ruam dan lepuh pada tangan, kaki dan kawasan lampin tidak perlulah hantar anak ke TABIKA atau TASKA,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau juga meminta tindakan penutupan kelas dibuat serta-merta jika terdapat kes dilaporkan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid berahamah mesra dengan tetamu yang hadir di Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri Bersama Warga KEMAS Negeri Pahang. Foto: UKK KPLB

“Jika terdapat mana-mana TABIKA atau TASKA yang terbabit, kita akan arahkan supaya ditutup serta-merta dan sekurang-kurangnya 10 hari berdasarkan saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pejabat Kesihatan Daerah akan dimaklumkan jika terdapat kes dan kerja-kerja disinfeksi akan dilakukan oleh pihak KEMAS.

Dalam tempoh itu juga tambah Mahdzir, Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan. Namun Pendidik Masyarakat dan Sukarelawan perlu hadir bertugas seperti biasa.

Tiga negeri mencatatkan kes tertinggi iaitu Kedah dengan 712 kes, Perak 558 kes dan Terengganu 479 kes melibatkan 180 buah premis keseluruhannya. Untuk rekod, KEMAS mempunyai 10,765 buah TABIKA dan 549 buah TASKA di seluruh negara. – SM

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button