Mahkamah

Keluarga tahanan mati dalam lokap terima ganti rugi RM357,500

Keluarga pemandu lori, P. Chandran yang mati semasa dalam tahanan polis pada 2012, akan menerima ganti rugi berjumlah RM357,500 kerana tidak diberikan keperluan perubatan sewajarnya ketika dalam tahanan.
Hal itu berlaku walaupun panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 6-1 membenarkan rayuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan mengenai persoalan undang-undang bahawa keluarga Chandran tidak berhak menerima ganti rugi teladan atas kematiannya ketika dalam tahanan.
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang yang menyampaikan keputusan majoriti itu berkata tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak harta si mati secara langsung atau tidak jelas untuk tuntutan bayaran ganti rugi teladan.
Walaupun Mahkamah Persekutuan tidak mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan ganti rugi teladan berjumlah RM200,000 kepada keluarga Chandran, mahkamah sebaliknya mengekalkan RM200,000 sebagai ganti rugi teruk.
“Oleh kerana responden (keluarga si mati) telah meminta ganti rugi teruk dalam pernyataan tuntutan mereka tetapi tidak diberikan, kami telah memutuskan untuk mengetepikan kuantum ganti rugi teladan yang diperintahkan oleh hakim Mahkamah Tinggi dan menggantikan jumlah sama dengan yang ada di bawah ganti rugi teruk,” kata hakim itu.
Mahkamah Tinggi, yang membenarkan tuntutan mahkamah yang difailkan keluarga Chandran pada 2016, telah memerintahkan PDRM dan kerajaan untuk membayar ganti rugi berjumlah RM357,500 yang merangkumi RM200,000 sebagai ganti rugi teladan.
Bagaimanapun, PDRM dan kerajaan memfailkan rayuan terhadap RM200,000 bagi ganti rugi teladan itu di Mahkamah Rayuan atas alasan bayaran ganti rugi teladan tidak boleh diberikan kepada anggota keluarga si mati.
Kedua-dua pihak itu bagaimanapun gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan kemudian mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.
Keputusan majoriti itu dibuat oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim serta Rhodzariah.
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan bagaimanapun tidak bersetuju dengan mengatakan bahawa Chandran dilucutkan hak asasi hidupnya ketika ditahan.
Beliau berkata, walaupun Undang-Undang Sivil 196 melarang pelepasan dalam bentuk ganti rugi terhadap kerajaan, namun pewaris si mati berhak menerima ganti rugi sedemikian kerana melanggar hak si mati untuk hidup di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Ganti rugi berjumlah RM200,000 yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi jelas untuk menunjukkan kemarahan mahkamah atas tindakan pihak berkuasa, yang mengakibatkan kematiannya (Chandran),” kata Nallini.
Beliau berkata mahkamah harus berhati-hati untuk melindungi hak mereka yang berada dalam tahanan untuk memastikan mereka tidak mati dalam tahanan, tetapi harus juga berwaspada untuk memastikan tuntutan yang tidak bermotif dan semberono ditolak.
Pada 16 Jan 2015, Koroner Datuk Ahmad Bache yang mendengar inkues berhubung kematian Chandran memutuskan bahawa polis bertanggungjawab terhadap kematian Chandran kerana mereka tidak memberikan bantuan perubatan tepat pada masanya kepada tahanan itu.
Pada September 2015, balu simati, N. Selvi dan anak perempuannya, C. Rita memfailkan saman sivil terhadap ketujuh-tujuh perayu – lima pegawai polis, Ketua Polis Negara dan kerajaan – kerana mendakwa kematian Chandran disebabkan kecuaian dan tindakan mereka menjurus kepada salah laku awam serta melanggar hak perlembagaan si mati.
Pada 9 Jan 2016, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur memutuskan bahawa kematian Chandran, 47, adalah akibat kecuaian polis dan memberikan ganti rugi berjumlah RM357,500.
Jumlah yang diputuskan itu merangkumi ganti rugi teladan RM200,000, kehilangan penanggung RM144,000, RM10,000 kerana kehilangan dan ganti rugi khas RM3,500.
Chandran ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes penculikan seorang bayi yang baharu dilahirkan.
Peguam M.Visvanathan mewakili keluarga Chandran manakala Peguam Kanan Persekutuan Andi Razalijaya bertindak bagi pihak polis dan kerajaan Malaysia.- BERNAMA
(Visited 107 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button