Nasional

PPSMI: Jangan terjatuh dalam lubang sama

ANALISIS

SUARA Merdeka hanya `suara kecil’ dalam memperjuangkan nasib dan masa depan anak-anak Melayu.

Namun apabila dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
mahu diperkenalkan semula, kami sedikit terpanggil mengimbas sejarah kegagalannya tempoh hari.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat.

Dasar itu menimbulkan bantahan dan dimansuhkan pada 2012.KAJIAN EMPIRIKAL

Kegagalan PPMSI dibuktikan secara empirikal menerusi penyelidikan Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (PEMBINA) pada 2008 dengan kerjasama tiga universiti awam, iaitu Universiti Malaya (UM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Malah penyelidikan sama juga dibuat Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan.PPSMI tidak diperkenalkan kembali kerana kegagalannya sudah terbukti dan ‘mengorbankan’ tiga juta murid, selain menelan belanja berbilion ringgit.

Satu dekad pelaksanaan PPSMI ‘mengorbankan’ satu generasi anak Malaysia yang sebahagian besarnya dari luar bandar dan dalam kalangan berpendapatan rendah atau kelompok B40.

Selama satu dekad, PPSMI menggagalkan pembinaan negara bangsa Malaysia yang bersatu-padu berbanding kejayaan Dasar Pendidikan Kebangsaan 1970.

Kedua-dua penyelidikan oleh PEMBINA dan Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan membuktikan PPSMI menumpulkan minat pelajar sekolah terhadap mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Malah ia membantutkan tahap kecerdasan murid dan merugikan generasi yang bakal ke gerbang Revolusi Industri 4.0.

KELEMAHAN PPSMI

Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan, kedudukan murid Malaysia dalam Sains merosot ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada 2003. Bagi mata pelajaran Matematik, kedudukan murid telah jatuh daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007.

Antara kelemahan PPSMI adalah:

Pertama, menjalankan dasar PPSMI tidak menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris pelajar kerana masalah yang sebenarnya berkaitan dengan Bahasa Inggeris itu sendiri. Masalah yang wujud adalah kaedah pengajaran yang tidak baik dan jelas serta ketidaksesuaian sukatan pelajar sewaktu Bahasa Malaysia dalam Sains dan Matematik ditukar kepada Bahasa Inggeris.

Kedua, risiko pelaksanaan keputusan itu dijangka besar sekali. Hal ini membawa maksud guru Matematik dan Sains tidak semestinya guru yang mahir berbahasa Inggeris dan dikhuatiri timbul keadaan ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran’. Penguasaan Bahasa Inggeris pelajar tidak meningkat dan penguasaan ilmu Sains dan Matematik dalam kalangan pelajar terjejas oleh sebab masalah bahasa.

Ketiga, PPSMI dikhuatiri mengakibatkan berlakunya keadaan ‘lulus jarum luluslah keindahan’. Pada masa depan kelak,kepakaran dalam bidang tertentu kemungkinan akan diputuskan sewaktu penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran lain yang berasaskan atau ada kaitannya dengan Sains dan Matematik, seperti Ekonomi, Perdagangan, Geografi, Akaun dan lain-lain.

Tambahan pula, penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar terutama di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.

GURU PUN LEMAH BAHASA INGGERIS?

PPSMI turut membuktikan wujudnya kelemahan dan ketidaktrampilan guru yang teŕbabit dengan PPSMI.

Guru lemah berbahasa Inggeris dan gagal berkomunikasi untuk menyampaikan ilmu Sains dan Matematik.

Kelemahan itu menggagalkan daya pemahaman, cerapan dan pentaakulan serta pengkonsepsian murid terhadap ilmu Sains dan Matematik, sekali gus menjejaskan pemikiran dan pandangan dunia saintifik mereka.

Berdasarkan penyelidikan itulah, Kementerian Pendidikan dan menterinya ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memansuhkan PPSMI pada 2009 dan secara sepenuhnya pada 2012.

Ia diganti dengan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Dalam pelancaran MBMMBI, Muhyidin menyatakan 3 juta murid sekolah menjadi mangsa kegagalan PPSMI.

PPSMI ditamatkan secara ‘soft landing’ bermula 2009 hingga 2012.

Kementerian Pendidikan kemudian memperkenal dasar Dual Language Program (DLP) pada 2016 yang memberi pilihan kepada sekolah menentukan sendiri jika ingin mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Kelas DLP kini ada di hampir 1,300 sekolah rendah dan menengah membabitkan kira-kira 23,000 pelajar. – SM

(Visited 584 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button