Jenayah

Kelicikan abang Chik pecah tabung masjid, surau tumpas

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 7 April – Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah!

Kelicikan seorang lelaki menggelarkan diri ‘Abang Chik’ yang aktif memecah tabung masjid dan surau di sekitar Melaka tumpas apabila dia berjaya diberkas polis minggu lalu.

Lelaki berusia 33 tahun itu berjaya ditahan di sebuah rumah di Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini
hasil serbuan Op Tabung, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Melaka
pada 1 April lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, dalam serbuan tersebut
polis turut merampas dua buah motosikal, pelbagai peralatan dan pakaian yang digunakan suspek sewaktu
melakukan jenayah pecah tabung masjid dan surau.

Menurutnya, hasil soal siasat lelaki yang masih bujang itu mengaku melakukan sebanyak 23 kes jenayah
tersebut iaitu 16 kes di Melaka Tengah, Alor Gajah (6) dan Jasin (1) dengan jumlah kerugian sebanyak
RM5,650.

“Suspek juga turut mengaku melakukan jenayah yang sama di beberapa buah masjid dan surau di Negeri
Sembilan dan duit yang diperolehi itu digunakan untuk perbelanjaan harian, membaiki motosikal dan membeli
dadah.

“Dia juga mengaku melakukan jenayah itu secara solo dan hasil siasatan lelaki itu mempunyai 13 rekod
jenayah lampau di samping enam rekod melibatkan kes dadah,” ujarnya.

Menurut Zainol, modus operandi digunakan suspek dengan menyasarkan tabung yang kebanyakannya tidak
berkunci atau memecahkan mangga tabung yang berikat di tiang dan kegiatan itu dilakukan antara pukul 12.00
tengah malam hingga pukul 5.00 pagi.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang
mana boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun penjara dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, Zainol berkata, sepanjang tahun ini, polis berjaya menyelesaikan 11 kes pecah
tabung masijid dan surau sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah melalui beberapa siri tangkapan sejak
awal tahun.

Beliau berkata, jenayah itu terus berlaku dan menunjukkan trend yang membimbangkan sehingga mendorong
pihak polis terus membuat risikan dan mengesan beberapa suspek lain.

“Berdasarkan statistik dari tempoh Januari hingga Mac 2022, sebanyak (41) kes telah dilaporkan dengan (30)
kertas siasatan telah dibuka,” ujarnya.

Jelasnya, angka itu meningkat sebanyak 24 kes berbanding tempoh sama tahun lalu yang menyaksikan hanya 17
kes sahaja dilaporkan dengan 11 kertas siasatan telah dibuka.

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button