Nasional

Troll, spin bikin menteri-menteri gelabah?

KOMENTAR

TROLL, spin, fitnah yang berjela-jela, apa lagi ketika wabak COVID-19 melanda negara ketika ini bikin sebilangan menteri bimbang menampilkan diri. Benarkah?

Hinggap di telinga SUARA MERDEKA, ada menteri yang senyap-senyap sahaja mengatur perjumpaan dengan klien yang selaras dengan portfolio yang diketuainya.

Ada menteri yang mengambil pendekatan, belum tiba masanya untuk terampil kerana “story, news, press conference era ini milik PM Tan Sri Muhyiddin, DG kesihatan, Dr. Noor Hisham dan menterinya Dr. Adham Baba”.

36 KES
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ada menteri pula melihat tidak ada keperluan untuk membuat sebarang kenyataan.

Ini kerana segala serba serbi untuk manfaat rakyat dalam dua tiga bulan ini mendatang ini sudah pun dicakupi dalam siri perutusan PM yang lengkap dengan pakej rangsangannya, berserta analogi dan satira `layman’nya sekali.

Bagi SUARA MERDEKA secara peribadi, tidak perlu menteri rasa ragu-ragu dengan keupayaan dan daya saing diri.

Biasalah, nama pun politik. Akan ada `abu jahalnya’.

Hakikatnya, daya tahan amat penting sekalipun fenomena kawan jadi lawan berterusan diamalkan. Tahan kalah, tahan kena kritik dan tahan sabar. Telinga pun tak boleh terlalu nipis, apabila ditegur mudah melenting.

Dulu-dulu, zaman Kesultanan Melaka, menteri sebenarnya sebahagian dari anggota majlis eksekutif sultan dan beliau mestilah seorang yang bijak berpolitik.

Disebabkan ketika itu tiada pilihan raya , kelayakan beliau tertakluk kepada keupayaan peribadi seseorang untuk meyakinkan sultan bahawa beliau mempunyai kebijaksanaan dan kewibawaan seorang pemimpin.

Sejarah Melayu sering menggunakan pantun untuk menggambarkan ciri-ciri utama seorang pemimpin yang baik:

Kalau mencari tempat mandi
Pertama teluk kedua pantai
Kalau mencari pemimpin negeri
Pertama elok kedua pandai.

Politik hari ini adalah seperti mana digariskan oleh Sun Tzu, seorang ahli falsafah, jeneral dan strategis peperangan terkenal dari China.

Kata Tzu dalam bukunya The Art Of War, “senjata paling ampuh dalam sebuah peperangan adalah strategi”. Ikut prinsipnya, “Kenali diri anda, kenali musuh anda. Seribu perang, seribu kemenangan.”

Mungkinkah tidak akan ada lagi kelibat ahli-ahli politik yang masih mempolitikkan hal-hal tertentu dan memberi ucapan antara syurga dan neraka – seperti mana kata-kata pujangga dinukilkan Bob Hope, seorang penghibur Hollywood?

Hope menyindir bahawa ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan, “hinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka”.

Kisah juru propaganda Nazi Jerman di era Perang Dunia Kedua, Joseph Goebbels pernah menjadi `tular’.

Goebbels pernah mengungkapkan: “Inform, inform and when they are interested, misinform”.

Dia merupakan pakar propaganda diktator Adolph Hitler yang utama dan pembenci serta musuh orang Yahudi yang tidak ada tolok bandingnya.

Goebbels dimunculkan kerana kesungguhan dan kepakarannya sebagai ejen penerangan Nazi Jerman yang terhebat. Kebolehannya mengikut rekod arkib Jerman, menyebabkan Hitler lebih berani dan lebih ganas, terutama terhadap orang Yahudi di Jerman.

Kejayaannya, walaupun dalam konteks pencapaian yang negatif, lantaran kebolehan putar alam dan putar belitnya, telah mempakari semua aspek hearts and minds rakyat Jerman sekali pun jiwa Yahudi tidak berjaya dikuasai pemerintahan Nazi.

Cuma, biar apa pun cara berpolitiknya di Malaysia ini, rakyat haruslah bijak timbang-timbangkan dari terjerumus ke dalam ‘politik putar alam’.

Dan agar dijauhkan dari menjadi mangsa ‘gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah’. – SM

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button