Nasionalpilihan

13 parkir disediakan sepanjang Zon Bebas Kenderaan

Sebanyak 13 kawasan parkir disediakan kepada pengunjung yang datang ke Melaka
sewaktu pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir di sini, bermula pukul 6
petang Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, parkir tersebut ialah di Medan Samudera, Plaza Mahkota, Dataran Pahlawan, Mahkota
Parade, hadapan Hospital Mahkota, Casa del Rio dan sepanjang lampu isyarat Jalan Mahkota.

Menurutnya, selain itu, mereka boleh meletakkan kenderaan di parkir Padang Nyiru, Tabung Haji, hadapan Hotel Yellow Mansion, sepanjang Jalan Gereja, sepanjang Jalan Chan Koon Cheng, sepanjang Jalan Jonker Street dan Jalan Hang Jebat.

“Pengwujudan jalan kontra telah dilaksanakan bermula 22 Disember lalu yang mana dua laluan kontra bermula dari simpang Bangunan Madrasah Nurul Ehsan, Banda Kaba
hingga simpang Jalan Munshi dan dari Lorong Bukit Cina hingga Jalan Bukit Cina (simpang Puteri Hang Li Po),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, jika berlaku kemalangan sewaktu pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan orang ramai boleh membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah,
Balai Polis Tengkera dan Balai Polis Banda Hilir, selain Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah.

Katanya, ini bagi memudahkan orang ramai berikutan penutupan jalan selama 54 jam sepanjang Jalan Laksamana bermula dari simpang Bangunan Madonna hingga ke Jalan
Tun Khalil Yaakob menghala ke Menara Taming Sari.

Dalam pada itu beliau berkata, lencongan laluan trafik dan penutupan jalan bagi ambang tahun baharu dan pelancaran Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 akan bermula pada 29 Disember 2023 pukul 6 petang sehingga 1 Januari 2024 pukul 8 pagi.

Jelasnya, jalan yang ditutup adalah sepanjang Jalan Tun Mutahir bermula dari simpang Bangunan Maybank (Jalan Hang Tuah) hingga ke lampu isyarat Pengkalan Rama.

“Lampu isyarat Jalan Tun Ali masih boleh dilalui dan aliran trafik hanya dihalakan ke Jalan Tun Mamat, Jalan Graha Maju dan Jambatan Jalan Persisiran Bunga Raya (The Shore),” ujarnya.

Justeru katanya, pengunjung boleh merancang untuk meletakkan kenderaan di lapan kawasan parkir iaitu Medan Selera Tun Ali, sepanjang Jalan Graha Maju, sepanjang
Jalan Tun Mamat, Pusat Transformasi Bandar (UTC), Masjid Fathur Rahman Pengkalan Rama, Jalan Lagenda, Pasaraya Aeon dan Pasaraya Lotus.

“Orang ramai juga boleh menggunakan perkhidmatan bas percuma iaitu Bas Panorama yang disediakan di Jalan Lagenda bermula jam 6 petang 31 Disember hingga 1 pagi,
1 Januari 2024.

“Pengguna jalan raya khususnya diingatkan agar untuk sentiasa mematuhi arahan penguatkuasa yang bertugas selain dinasihat untuk menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan selain boleh menghubungi talian hotline IPD Melaka Tengah di talian 06-2841999 bagi sebarang pertanyaan,” katanya.

Menurutnnya, seramai 207 pegawai dan anggota ditugaskan bagi memastikan kelancaran majlis sambutan serta keselamatan pengunjung- SM

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button