Pendidikan

Kelas Digital Mahir Tutor untuk pelajar SPM Wilayah Persekutuan

Kelas Digital Mahir Tutor dipilih sebagai antara inisiatif baharu Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah Inisiatif Wilayah Cakna 5.0.

Kelas digital kelolaan Planet Mahir Sdn. Bhd. tersebut ditawarkan secara percuma menerusi inisiatif berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Planet Mahir, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, kelas digital khusus untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu ditawarkan sebagai bantuan kepada pelajar SPM yang terkesan dengan penutupan sekolah akibat Covid-19.

“Kami di Planet Mahir menjalin kerjasama dengan pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan dalam menyediakan bantuan kelas digital ini kepada semua calon SPM di Wilayah Persekutuan sebagai inisiatif untuk meringankan beban pelajar dan juga ibu bapa mereka dalam persekitaran yang agak sukar sekarang ini akibat pandemik Covid-19”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Inisiatif tersebut akan bermula pada 1 Jun 2021 sehingga tamat peperiksaan SPM.

Pengumuman mengenai inisiatif Wilayah Cakna 5.0 telah dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa pada semalam.

Kelas Digital Mahir Tutor merangkumi sepuluh subjek teras, wajib lulus dan subjek kritikal seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Matematik, Sains, Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan.

Tambah beliau, kesemua kelas pembelajaran SPM Mahir Tutor itu telah dirakam dalam bentuk ‘video on demand’ yang akan membolehkan pelajar untuk mengaksesnya pada bila-bila masa menngunakan semua jenis peranti dan juga boleh berinteraksi dengan tutor melalui ‘live chat’.

“Kita telah menyediakan video yang lengkap untuk memudahkan semua pelajar mengaksesnya untuk proses pembelajaran yang lebih lancar dan berkesan.

“Saya yakin para pelajar tidak akan menghadapi masalah dari segi akses jalur lebar kerana seluruh Wilayah Persekutuan mempunyai rangkaian jalur lebar yang terbaik, jadi tidak akan timbul isu pelajar tidak boleh mengakses video subjek-subjek tersebut”.

Inisiatif itu menurut beliau lagi, turut melibatkan pelajar SPM di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Selain itu katanya, pihak DBKL juga akan melaksanakan pemasangan Wi-Fi percuma di semua lokasi terlibat.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan medianya mengumumkan tujuh inisiatif di bawah Inisiatif Wilayah Cakna 5.0.

Antara inisiatif itu termasuk Saringan Komuniti Bersasar Covid-19, Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah, Program Vaksinasi Gelandangan, Kelas Digital SPM Mahir Tutor, Wilayah Bebas Berniaga, Usahawan Anak Muda Kota Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pemantauan serta Penguatkuasaan.-SM

(Visited 381 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button