Nasional

Kelas ‘Centre of Sunnah Perlis’ dimulakan semula

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan permulaan semula kelas Centre of Sunnah atau ‘Markas As-Sunnah An-Nabawiyyah, Masjid Lama Arau’.

Kelas pengajaran Ilmu Thurath Islam yang dilaksanakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis berkenaan dibuka semula selepas terpaksa ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negeri ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Mufti Negeri, Sahibul Fadhilah Haji Tajul Urus Abdul Halim. Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Kelas pengajian tersebut adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Ia dilaksanakan dalam Bahasa Melayu dan Arab bermula 11 Januari 2022 baru-baru ini pada setiap isnin hingga khamis bermula jam 9 pagi hingga 12 tengahari.


Buku-buku pengajian seperti “Bidayatul Mujtahi”, “Harfiyah Al-Quran”, “Matan Ajrumiyah”, “Usul Tafsir”, “Tajwid Al-Quran”, “Aqidah Wasityyah”, “Sirah Nabawiyah” dan “Usul Tafsir” boleh dimuat turun di laman sesawang Jabatan Mufti Negeri Perlis www.muftiperlis.gov.my.

Masjid Lama Arau yang dibaiki semula oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini didirikan semasa pemerintahan Almarhum Raja Syed Ahmad Jamalullail sekitar tahun 1873 hingga 1897 melibatkan tukang-tukang Arab dan Melayu yang diberi tanggungjawab untuk membina Masjid Lama tersebut.

Terdahulu daripada itu Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih bagi kariah Arau 1 yang diserahkan melalui amilnya Abu Bakar Mahmud untuk diagihkan. Masing-masing menerima RM700.

Tuanku Raja Muda selepas itu berkenan mengetuai program ‘Kayuhan MAIPs Peduli Khas Covid Bilangan ke 3 bagi tahun 2022’ dan menyantuni serta menyampaikan sumbangan MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih di rumah masing-masing iaitu Abdullah Razak 86, Nordina Mohd Zain 59 dan Che Abidin Ismail 79.

(Visited 164 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button