
Kelab veteran komando Malaysia tuntut siasatan terhadap dua pertubuhan tidak berdaftar
PRESIDEN Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM) telah membuat laporan polis terhadap dua pertubuhan iaitu Persatuan Suara Patriotik Malaysia (PSPRM) dan Persatuan Pembela Pejuang Malaysia (PPPM) yang didakwa tidak berdaftar di bawah Akta Veteran 2012 (JHEV) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Menurut Presiden KVKM, Ghazali bin Abu kedua-dua pertubuhan tersebut merupakan entiti tidak sah yang melaksanakan aktiviti berkaitan veteran tanpa kebenaran rasmi. A
Antaranya termasuklah hal-hal melibatkan pelarasan dan pengiraan pencen yang sepatutnya berada di bawah bidang kuasa pertubuhan veteran berdaftar.
“Kami menyeru pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menyiasat perkara ini kerana tindakan mereka mencemarkan usaha pertubuhan veteran yang sah,” katanya dalam kenyataan.
Presiden KVKM juga menjelaskan bahawa pada 23 Disember 2024, kedua-dua pertubuhan tersebut hadir ke pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) tanpa membawa surat rasmi atau menjalin komunikasi terlebih dahulu untuk bertemu Ketua Pengarah JHEV. Mereka hadir di Menara TH Perdana, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, namun tidak dilayan oleh pihak JHEV kerana ketiadaan urusan rasmi.
“Susulan itu, PPPM yang diketuai oleh Lt. Kdr Rafiq telah membuat pelbagai tuduhan liar dan fitnah terhadap Ketua Pengarah JHEV, menyatakan beliau tidak berani bersemuka dan tidak melayan mereka. Kenyataan tidak berasas ini disebarkan melalui media sosial seperti Facebook, WhatsApp, dan lain-lain,” jelasnya.
KVKM, sebagai pertubuhan veteran yang sah berdaftar di bawah Akta Veteran 2012, kini memohon agar pihak Kementerian Pertahanan dan JHEV mengambil tindakan tegas, termasuk saman fitnah terhadap kedua-dua pertubuhan tersebut.
“Kami bimbang tindakan tidak bertanggungjawab ini akan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan menjejaskan usaha pertubuhan veteran sah seperti Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Persatuan Veteran Tentera Laut (PVTL), dan KVKM sendiri,” tegas Presiden KVKM.
Artikle Berkaitan :>
Lakukan satu perkara betul, dengar suara rakyat, titah Tunku Ismail