Nasional

Covid: 9 lagi maut, genap 80 terkorban dalam masa 10 hari

LAGI sembilan kematian direkodkan hari ini menjadikan seramai 80 orang telah meninggal dunia akibat Covid-19 dalam tempoh 10 hari tahun ini.

Lima kematian dilaporkan berlaku di Selangor, tiga di Kuala Lumpur dan satu di Sabah melibatkan enam mangsa lelaki dan tiga wanita berusia 37 tahun hingga 94 tahun.

Mengikut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, sehingga kini bilangan yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah seramai 551 kes.

Menurut beliau,  jumlah mereka yang dirawat akibat virus tersebut juga bertambah kepada 27,332 orang selepas 2,433 lagi kes baharu dikesan hari ini.

Daripada jumlah itu 171 orang sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 76 memerlukan bantuan mesin pernafasan.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 730 kes atau 30.0 peratus. Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 403 kes (16.6 peratus) dan Johor sebanyak 321 kes (13.2 peratus),” kata Dr. Noor Hisham.

Sementara itu bilangan kes sembuh adalah sebanyak 1,277 kes. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah sebanyak 108,109 kes atau  79.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan seramai 135,922 orang .

Lima lagi kluster baharu dikesan iaitu dua di Selangor, dua di Kelantan dan satu di Sabah.

“Jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 254 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 65 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (79 kes), Kluster Rawa Akasia (73 kes), dan Kluster Beringin (65 kes),” kata Dr. Noor Hisham.

Menurut Dr. Noor Hisham  tujuh kluster tamat  hari ini iaitu Kluster Bandar Impian, Kluster Indah Mas, Kluster Kubota, Kluster Batu Tiga, Kluster Rumah Merah, Kluster Sri Jujur, dan Kluster PTS Sibuga-SM

 

(Visited 206 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button