EkonomiNasional

Kelab NURI Bank Rakyat tampil dengan ciri baharu

Kelab Nuri Bank Rakyat yang telah memasuki tahun ke-14 sejak penubuhannya kini menampilkan ciri terbaharu dengan pelbagai kemudahan serta keistimewaan bagi membolehkan ahlinya menikmati pakej dan tawaran eksklusif.

Antara ciri terbaharu yang diperkenalkan termasuk pengurangan yuran keahlian sebanyak RM25 berbanding RM50 sebelum ini dan juga tiada yuran pembaharuan bagi tahun berikutnya. Dengan yuran serendah RM25 sahaja, ahli Kelab Nuri layak untuk mendapatkan pelbagai manfaat keahlian serta peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan.

Selain itu, pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan merupakan ahli Kelab Nuri berpeluang untuk mendapatkan insentif pendidikan melibatkan sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM160,000 di bawah program “Nuri High Achiever”. Di samping itu, ahli kelab turut layak untuk mendapatkan perlindungan takaful sehingga RM2,000.

Ahli Kelab Nuri juga dapat menikmati diskaun eksklusif daripada 16 rakan dagang sedia ada kelab berkenaan antaranya Petrosains, Aquaria, Melaka Wonderland, Taman Mini Malaysia dan Kedai Canggih. Menerusi kemudahan ini, ahli kelab dapat menikmati potongan harga bagi setiap bayaran tiket masuk dan harga istimewa untuk barangan terpilih. Menjelang bulan Jun tahun ini, Kelab Nuri menyasarkan untuk bekerjasama dengan 50 rakan dagang aktif bagi menawarkan lebih manfaat kepada ahli kelab.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Haji Abd Rani Lebai Jaafar berkata, Kelab Nuri yang ditubuhkan pada tahun 2007 merupakan salah satu inisiatif Bank Rakyat untuk mendidik generasi menabung dengan menggalakkan dan memupuk amalan menabung dalam kalangan anak muda termasuk kanak-kanak dan remaja berumur 18 tahun dan ke bawah.

Beliau menjelaskan bahawa kelab ini juga merupakan salah satu saluran untuk ibu bapa membuat tabungan secara berterusan menerusi Akaun Simpanan-i Nuri untuk kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah demi masa depan yang lebih terjamin lebih-lebih lagi dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

Dalam pada itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan menyeru ibu bapa dan pelajar untuk mengambil peluang ini dengan memanfaatkan insentif pendidikan yang ditawarkan untuk ahli Kelab Nuri.

Tambah Dato’ Syed Abdul Aziz, Bank Rakyat juga giat dalam menganjurkan inisiatif terhadap pembangunan modal insan negara serta melahirkan masyarakat yang berkemahiran tinggi menerusi bantuan pendidikan dan aktiviti berunsurkan pembelajaran.

“Bazar Ramadan Nuri Teenpreneurship” di MRSM Arau, Perlis

Pada 30 April dan 5 Mei lalu, Bank berkenaan mengadakan program “Bazar Ramadan Nuri Teenpreneurship” di tiga buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) iaitu MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka, MRSM Arau, Perlis dan MRSM Kuantan, Pahang.

“Bazar Ramadan Nuri Teenpreneurship” ini yang disertai oleh lebih 2,200 orang pelajar, berkonsepkan hari kantin sekolah yang mana mereka diberikan modal untuk berniaga dan membuka gerai masing-masing dalam kawasan sekolah.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, pendedahan pada usia muda dalam program keusahawanan sebegini perlu diperbanyakkan lagi kerana ia merupakan inisiatif penting dalam menjana generasi muda yang kreatif dan berinovasi dan seterusnya membantu mencapai aspirasi untuk menjadi negara keusahawanan (entrepreneurial nation).

“Bank juga dalam perancangan untuk mengadakan aktiviti berunsur keusahawanan dari semasa ke semasa menerusi platform baharu dan sedia ada dengan kerjasama sekolah serta institusi pengajian tinggi untuk memberi lebih manfaat dan kebaikan kepada komuniti,” ujar Nizam Sani.

Bagi yang berminat untuk menjadi ahli Kelab Nuri boleh mendaftar di cawangan Bank Rakyat. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat 1300 80 5454, laman sesawang rasmi Bank Rakyat www.bankrakyat.com.my dan kunjungi laman media sosial rasmi myBANKRAKYAT. – SM

(Visited 1,370 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button