Politik

Apakah ‘halal’ Pulau Pinang dapat air tanpa membayar – Pas Kedah

PAS Kedah mempersoalkan apakah ‘halal’ bagi Pulau Pinang mendapat manfaat bekalan air dari Kedah tanpa memberi sebarang bayaran.

Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya berkata, saban tahun Kerajaan Negeri Kedah terpaksa menanggung kos bagi pemuliharaan kawasan hutan tadahan air di negeri itu yang memberi manfaat sumber air kepada Pulau Pinang.

“PAS Kedah mempersoalkan dari sudut moral apakah ‘halal’ bagi pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat manfaat sedangkan Negeri Kedah melalui Syarikat Air Darul Aman (SADA) saban tahun terpaksa membuat bayaran kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah sebagai rasa tanggungjawab terhadap pemuliharaan dan penggunaan sumber air mentah tersebut,” kata Ahmad.

Ahmad berkata, PAS Kedah memberi sokongan penuh gesaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor supaya Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP membayar air yang disalurkan Kedah ke negeri itu.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Kedah telah membuat tuntutan pembayaran sejak tahun 2010 namun tindakan pimpinan Negeri Pulau Pinang untuk tidak mempertimbangkan permintaan itu amat mengecewakan.

Sedangkan negeri Pulau Pinang menggunakan air sebanyak 1,100 juta liter padu (MLD) sehari berbanding penggunaan di negeri Kedah sebanyak 800,000 liter padu sehari.

Sehubungan itu, katanya, sekiranya Pulau Pinang tidak mahu membayar, PAS Kedah menyarankan agar Kerajaan Negeri mencari sumber air yang lain.

“Pas Kedah mencadangkan agar Pulau Pinang dan DAP khususnya berusahalah mencari sumber air yang baru untuk mendapat manfaat secara percuma.

“Anggaplah sumber yang sedia ada adalah kurniaan Allah untuk rakyat Negeri Kedah,” kata Ahmad dalam satu kenyataan yang disiarkan di Harakah Daily.

Sebelum ini Muhammad Sanusi menuntut PBAPP menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun, sebelum mencampuri urusan berkaitan sumber air di negeri berkenaan.

“PBAPP sudah jana banyak keuntungan daripada Sungai Muda kerana di sana banyak kawasan industri, sektor pelabuhan dan perkapalan berbanding Kedah,” kata Muhammad Sanusi.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Jaseni Maidinsa, dilaporkan menggesa kerajaan negeri menghentikan hasrat melombong mineral jenis rare element earth di Sik dan Ulu Muda, Baling.

“Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa), Kementerian Sumber Asli dan Tenaga (NRE), dan Majlis Keselamatan Nasional (MKN) perlu bekerjasama untuk menghentikan usaha berbahaya ini dengan segera.

“Menteri besar Kedah dengan mudah lupa bahawa Ulu Muda adalah kawasan tadahan air terbesar dan terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),” katanya.-SM

 

(Visited 581 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button