Nasionalpilihan

Kekurangan bekalan telur di Melaka tidak serius

Bekalan telur di Melaka berlaku kekurangan kuantiti namun ia tidak dianggap sebagai serius sehingga boleh menjejaskan golongan peniaga dan pengguna yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka memberi jaminan bekalan telur di negeri ini tidak akan putus walaupun berlaku kekurangan kuantiti di pasaran tempatan.

Menurutnya, kekurangan bekalan itu hanyalah bagi gred C manakala gred A dan B masih boleh diperolehi oleh golongan peniaga dan isi rumah.

Jelasnya, kekurangan bekalan itu berlaku berikutan permintaan yang tinggi daripada pengguna sewaktu musim cuti sekolah dan perayaan Krismas.

Beliau berkata, walaupun begitu orang ramai masih boleh membeli telur gred D serta E yang tidak dikawal harga oleh kerajaan.


“Memang bekalan telur di Melaka masih ada kekurangan tetapi ia tidak terlalu serius dan orang ramai atau peniaga masih boleh mendapatkan bekalan tersebut.

“Kita sudah jangka bulan ini akan berlaku kekurangan telur kerana permintaan tinggi sebab musim cuti sekolah dan sambutan krismas.

“Kita juga turut menantikan telur import dari India yang dijangka dapat menampung kekurangan bekalan yang berlaku di negeri ini,” ujarnya selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 yang turut dihadiri Ketua Penguatkuasa KPDN, Rohaimi Mohamed Zawawi di sebuah pasaraya di Peringgit di sini hari ini.

Tempoh pelaksanaan SHMMP selama lima hari membabitkan 11 jenis barangan yang telah diwartakan bermula hari ini sehingga 27 Disember ini.

Mengulas lanjut Hee Sem berkata, pihaknya turut mengadakan banyak perbincangan dengan pihak penternak di negeri ini memantau agar dapat mengimbangi bekalan yang berlaku kekurangan ketika ini.

Menurutnya, setakat ini pihak KPDN tidak menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga telur ‘luar biasa’ kerana pihak peruncit dan pasaraya masih mematuhi harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan melainkan telur gred D sert E serta telur ayam kampung dan telur ayam omega.

Dalam pada itu beliau berkata, sempena SHMMP beberapa anggota penguatkuasa akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memantau peniaga mematuhi harga yang ditetapkan bagi 11 barangan terkawal. – SM

(Visited 44 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button