BeritaSukan

Kekalahan yang amat memedihkan

sumber media sosial

SUARA MERDEKA: Pertama saya ingin mengucapkan tahniah kepada JDT kerana permainan yang cukup mantap untuk menyekat Kedah dan sekaligus merangkul gelaran juara Piala Malaysia.

Saya sebagai penyokong Kedah berkongsi rasa sedih dan kecewa di atas kekalahan yang dialami pasukan dari Utara itu. Saya kecewa kerana Kedah seolah-olah terbelenggu dengan taktik yang dipakai oleh JDT iaitu permainan hantaran jarak pendek di dalam kotak penalti hingga mudah memerangkap pertahanan Kedah.

Perlawanan malam tadi jelas tidak seimbang, JDT mempamerkan segala kelebihan yang mereka miliki dan para pemain mereka merantai jentera serangan Kedah sehingga sukar untuk keluar dari zon selesa dan melancarkan serangan.

Itulah hakikat bola sepak kita JDT ibarat Barcelona, Real Madrid dan Bayern Munich iaitu terlalu unggu berbanding pasukan lain. Formulanya mudah sahaja mempunyai ketua yang bukan sahaja memiliki dana bahkan minat yang sangat mendalam dengan bola sepak.

Zaman sekarang minat sahaja tidak cukup, kerana duit dapat membantu membina pasukan yang mantap dalam masa yang singkat. Untuk membina pasukan dari bawah akan mengambil masa yang lama dan cara yang mudah ialah membeli pemain antarabangsa yang telah terbukti kehebatan prestasinya atau memberi kerakyatan.

Sebenarnya sebelum wisel permulaan ditiup pengadil kita sudah tahu Kedah bukan lawan JDT, cuma para penyokong yang hadir di Stadium Bukit Jalil berharap sesuatu yang ajaib berlaku sebagai ketika Kedah menentang Pahang tempoh hari juga sebuah pasukan dibarisi pemain import yang mantap.

Pandangan peribadi saya, malam tadi Kedah hanya boleh menang jika mereka mempunyai pemain yang `jahat’ bermain kasar sehingga memusnahkan mood dan rentak pasukan JDT. Jika mahu bermain dengan skil Kedah jauh ketinggalan. JDT bukan sahaja mempunyai barisan pemain import yang hebat, bahkan hampir kesemua pemain mereka adalah pemain kebangsaan yang mendapat pendedahan di dalam dan luar negara.

Saya mohon maaf tulisan ini tidak dapat tidak berbau cemburu dengan kehebatan pasukan JDT. Apa pun tahniah kepada JDT.

(Visited 70 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button