MahkamahNasional

Remaja dilahirkan ibu warga Myanmar diberi kerakyatan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan seorang remaja perempuan 15 tahun yang dilahirkan daripada bapa Malaysia dan ibu Myanmar diberikan taraf kewarganegaraan.

Hakim Noorin Badaruddin dalam membenarkan semakan kehakiman oleh bapa berusia 41 tahun dan remaja itu turut mengarahkan status tanpa kerakyatan dalam sijil kelahirannya diubah.

Noorin membenarkan perintah mandamus supaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Ketua Pengarahnya mengeluarkan MyKad kepada gadis itu.

Hakim turut memerintahkan kos RM5,000 kepada bapa dan anak perempuannya, yang identiti mereka dirahsiakan atas permintaan mereka.

Peguam N Surenthra Ananth yang mewakili kedua-dua pemohon berkata, pengisytiharan itu diberikan di bawah Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Kanak-kanak itu dilahirkan di sini pada 2007, tetapi bapanya kemudian mengahwini seorang wanita Malaysia dan mengambilnya sebagai anak angkat secara rasmi.

Mereka memohon supaya kanak-kanak itu diberikan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan tetapi ia ditolak Menteri Dalam Negeri.

Akhirnya mereka memfailkan semakan kehakiman dua tahun lalu untuk kanak-kanak itu diisytiharkan sebagai warganegara di bawah Seksyen 1(e) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

Surendra yang dibantu Calvin Khoo berkata, hujah utama ialah di bawah Seksyen 1(e), kanak-kanak itu hanya perlu menunjukkan beliau dilahirkan di Malaysia dan bukan rakyat negara lain.

Katanya, sijil kelahirannya menunjukkan beliau dilahirkan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, pemohon turut mengemukakan undang-undang berkaitan di Myanmar yang menunjukkan beliau tidak berhak mendapat kerakyatan Burma melalui undang-undang yang dikuatkuasakan.

Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin mewakili kerajaan. – SM

(Visited 183 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button