Sukan

Kejohanan My Esports: MyStay@HomeChallenge bermula Khamis ini

INI berita baik! Khusus untuk gamers. Dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semestinya kalangan e-sports memanfaat sepenuhnya masa duduk di rumah.

Menurut laporan BERNAMA, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) mengambil inisiatif mewujudkan Kejohanan My Esports:MyStay@HomeChallenge.

Ini adalah sebagai langkah mencari bakat-bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Kejohanan itu selaras dengan pelaksanaan PKP yang diumumkan kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 dengan menggalakkan orang ramai duduk di rumah.

KBS dalam satu kenyataannya memberitahu, inisiatif itu bukan sahaja sebagai pengisian aktiviti di rumah sepanjang PKP.

Malah ia merupakan usaha dalam mendidik masyarakat bahawa sukan elektronik adalah sukan yang mempunyai potensi di samping mampu melahirkan atlet esports profesional.

“Aspek kesihatan pemain akan turut diberi penekanan melalui penerapan elemen pendidikan sepanjang kejohanan ini berlangsung.

“Pemain akan didedahkan kepada cara bermain dengan sihat melalui senaman ringkas yang patut diamalkan oleh penggemar esports semasa bermain,” kata kenyataan itu.

Kejohanan secara dalam talian itu yang melibatkan 13 negeri serta dua wilayah persekutuan akan bermula Khamis ini sehingga PKP berakhir pada 14 April.

Acara mempertandingkan dua jenis permainan iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGMobile) secara berkumpulan, terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat negeri yang akan berlangsung pada 9 April sehingga 10 April manakala kejohanan peringkat kebangsaan pula pada 12 April sehingga 14 April.

Sasaran jumlah penyertaan peringkat negeri bagi MLBB adalah sebanyak 64 pasukan yang meliputi penglibatan 320 pemain manakala bagi PUBGMobile pula, 64 pasukan disasarkan dengan penglibatan seramai 256 pemain.

Penggemar atau pemain esports yang berminat untuk menyertai kejohanan itu boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kelayakan, pendaftaran dan syarat penyertaan menerusi media sosial ESM dan KBS.

Pendaftaran akan dibuka kepada seluruh peminat e-sports di Malaysia bermula hari ini. – SM

(Visited 312 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button