Sukan

Kejohanan dunia woodball ditunda lagi

Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-9 yang dirancang untuk dilangsungkan di Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra, Perlis akan sekali lagi ditunda kepada 23-28 Julai 2022.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Pertandingan Woodball Jemputan Antara Ketua Jabatan Negeri Perlis 2021’ anjuran Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Negeri Perlis dengan kerjasama Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) yang diadakan di Laman Woodball Majlis Perbandaran Kangar di Dataran Datuk Sheikh Ahmad Kangar baru-baru ini.

Hadir menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Retail Negeri (Perlis) SME & Residential, Bahagian Retail TNB, Azian Alias dan Timbalan Presiden PWNPs, Zaharin Haris.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis, persatuan itu telah menerima surat rasmi daripada Persekutuan Woodball Antarabangsa (IWBF), melalui Persatuan Woodball Malaysia (MWA), yang menjelaskan bahawa Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-9 2021 di Perlis yang sebelum ini dikenali sebagai Kejohanan Woodball Piala Dunia ke-9 2020 (WCWC2020) telah sekali lagi terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Terakhir sekali pertandingan ini dilangsungkan ialah pada Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-8 pada tahun 2018 yang diadakan di Chiang Dao Woodball Club, Chiang Mai, Thailand.

Untuk rekod, laman woodball di Dataran Datuk Sheikh Ahmad Kangar merupakan satu-satunya di dunia yang boleh digunakan pada waktu malam. Walaupun sukan woodball lahir di Taiwan, sehingga hari ini tiada kemudahan kekal sedemikian rupa disediakan di sana maupun tempat-tempat lain.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam proses merancang dan melaksana kejohanan bertaraf dunia di negeri Perlis ini untuk terus menerus bersiap sedia dengan bidang tugas masing-masing dan menyelaras tindakan dengan sebaik mungkin.

(Visited 629 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button