Bola SepakSukan

Keinginan sarung jersi Harimau Malaya tidak pernah padam – Safee Sali

SAFEE Sali sesekali tidak pernah padam keinginannya untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya.

Penyerang pasukan PJ City FC itu menafikan beliau kini berada di penghujung kariernya dan menegaskan beliau sedia dipanggil semula untuk membantu menguatkan jentera serangan pasukan negara yang kini dalam misi untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Saya pernah cakap mengenai perkara ini dan ia masih sama. Keinginan itu masih ada kerana saya masih lagi bermain dan saya masih aktif dalam karier. Saya juga tidak pernah menyatakan untuk memadam hasrat daripada bermain untuk skuad kebangsaan.

“Selagi saya bermain, selagi saya masih boleh menyumbangkan sesuatu dalam permainan bola sepak untuk negara, saya sedia untuk dipanggil jika diberi peluang,” katanya kepada Bernama.

Penampilan terakhir bekas penyerang prolifik kebangsaan dan pemenang kasut emas Piala AFF 2010, bersama skuad kebangsaan adalah ketika Malaysia mencatat keputusan seri 0-0 berdepan Filipina dalam aksi persahabatan pada Mac 2017.

Safee yang pernah beraksi bersama beberapa kelab antaranya Selangor, Petita Jaya FC (Indonesia), Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PKNS FC telah mencetak 23 gol sepanjang 79 penampilannya bersama skuad kebangsaan.

Dengan pengalaman luas dimiliki, beliau optimis mampu menyumbang sesuatu terutama di posisi penyerang utama skuad kebangsaan..

“Sumbangan itu mungkin dari segi pengalaman saya dan dari segi permainan di posisi yang saya bermain (penyerang utama). Saya tengok sepertinya ada kekosongan (dalam skuad kebangsaan), jadi kenapa tidak,” tambah beliau.

Sementara itu, beliau berkata tahap kecergasannya berada di tahap yang baik meskipun aksi Liga Malaysia (Liga-M) 2020 ditangguhkan sehingga September depan.

“Saya cuba untuk kekalkan tahap kecergasan sebelum latihan sebenar bermula nanti dan sebagai pemain kami memang ikut program latihan disediakan jurulatih. Tetapi sentuhan bola di rumput padang memang saya sebagai pemain sangat rindukan sekarang,” katanya. – BERNAMA

(Visited 478 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button