BeritaPendidikan

Raja Perlis titah semua pihak hentikan aktiviti ancam kesejahteraan masyarakat

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar semua pihak berhenti daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang mengancam kesejahteraan masyarakat. Keutamaan mestilah diberikan sepenuhnya kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Pertelagahan mahupun pertelingkahan yang dapat meruntuhkan benteng perpaduan masyarakat termasuk melalui media sosial perlu dihentikan sepenuhnya.

Menurut baginda, inilah masanya untuk kita manfaatkan ilmu dan pengetahuan agar dapat keluar seberapa segera yang boleh dari kemelut yang ada. Baginda percaya kita mampu melakukannya dan sama-sama memainkan peranan dalam memerangi Covid-19.

Demikian titah Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan di Balai Menghadap Hijau Istana Arau pada pagi tadi.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Raja juga berharap supaya para ilmuwan kita dalam pelbagai bidang kepakaran dapat bersatu tenaga dan fikiran membantu negara dan masyarakat.

‘Kita perlulah memainkan peranan dalam pembangunan semula ekonomi negara dan pada masa yang sama memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara’.

Antara Penerima Ijazah Kehormat, Gelaran Profesor Emeritus dan Emerita serta Pemenang Pingat Emas Canselor kali ini daripada baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor USM adalah Dr. David Lacey (Ijazah Kehormat Doktor Sains), Datuk Wira Lee Chong Wei (ljazah Kehormat Doktor Sains Sukan), Datuk Dr. Asma Ismail FASC. (Anugerah Profesor Emerita), Dr. Zahri Ismail – tanpa hadir – (Anugerah Profesor Emeritus) dan Khaw Teng Kang (Hadiah Pingat Emas Canselor).

Yang turut hadir ialah Pro-Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan, Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Foto ihsan Istana Arau

 

 

 

 

(Visited 284 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button