Mahkamah

Curi jongkong emas: Wanita dipenjara 5 bulan, denda RM11,000

Seorang wanita dipenjara lima bulan dan denda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri satu jongkong emas dan duit majikannya Oktober lalu.

Tertuduh, Goh Min Xiu, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dengan niat curang telah mencuri satu jongkong emas 999 seberat 100 gram bernombor C388364 yang bernilai RM25,393.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah kedai emas di Jalan Kee Ann dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 4.30 petang, pada 30 Oktober lalu.

Tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua dan kemudiannya hendaklah diseksa dengan penjara dan
boleh juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati dengan niat curang mencuri wang tunai berjumlah RM2,427 kepunyaan bekas majikannya.

Tertuduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah restoran di Jalan KPKS 5, Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 10.00 malam pada 22 Oktober lalu.

Tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh dengan mengambil kira nilai emas
yang tinggi dan perbuatan mencuri duit majikannya sendiri.

Tertuduh yang masih bujang tidak diwakili peguam kemudian merayu agar hukuman ringan kerana dia perlu menjaga ibu yang sakit selain sudah menyesal dengan
perbuatannya itu.

Khairunnisak kemudiannya menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara dari tarikh tertuduh ditangkap pada 7 November lalu dan denda RM10,000 atau enam bulan
penjara jika gagal bayar bagi kesalahan mencuri jongkong emas.

Bagi kesalahan mencuri wang tunai, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selepas tamat hukuman kesalahan pertama dan denda RM1,000 atau satu bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut. – SM

(Visited 31 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button