Nasional

PBB diseru guna semangat Keluarga Dunia tamatkan keganasan global

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakankan semangat Keluarga Dunia untuk menangani cabaran dalam ketidaksamaan, ketidakstabilan politik dan pemerintahan global.

Dalam ucapan sulungnya selaku Perdana Menteri pada Debat Umum Sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York menerusi rakaman video malam tadi, Ismail Sabri menegaskan, PBB perlu senada dalam usaha menghentikan keganasan di seluruh dunia.

Menurutnya, Malaysia akan melakukan apa sahaja yang termampu dalam memupuk keamanan dan mencegah konfilik antara negara melalui dasar luarnya.

Malaysia tambah beliau, sentiasa mengambil pendirian teguh terhadap sebarang usaha dan inisiatif bagi kewujudan bersama secara aman dengan negata lain, hidup harmoni, berbilang kaum, kepercayaan dan agama.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang budaya, berbilang kaum dan pelbagai agama, Malaysia amat yakin apa yang telah kita amalkan dapat juga diaplikasikan ke seluruh dunia.

“Pada masa yang sama, kita adalah penyokong kuat multilateralisme. Kedua-dua multilateralisme dan hidup berdampingan secara aman saling menguatkan. Kita perlu sedar bahawa ketika kita maju, kita harus lebih  bersepadu dan kuat sebagai sebuah keluarga.

“Hormat dan saling memahami mesti menjadi tulang belakang dan intipati dalam interaksi dan wacana kita. kami percaya bahawa kepelbagaian boleh menjadi sumber kekuatan dan daya tahan yang kuat. Oleh itu, kita perlu melihat lebih mendalam tentang banyak kualiti yang ada membentuk keluarga bangsa kita,” katanya.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut menyentuh konflik di Myanmar dan keganasan di Palestin.

Ismail Sabri menegaskan Malaysia bimbang dengan keadaan yang berlaku di Myanmar terutama isu kemanusiaan sejak tentera merampas kuasa daripada kerajaan awam pada 1 Februari lalu.

Menurutnya, Malaysia menyokong kuat usaha yang dilakukan Duta Khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Mohd. Yusof yang juga Menteri Luar II Brunei dalam mengatur proses dialog dengan Myanmar.

“Kami mendesak pihak berkuasa memberi kebenaran dan membantu Duta Khas ini menjalankan tugasnya serta mempercepatkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara yang sudah dipersetujui ASEAN,” katanya.

Mengenai situasi di Palestin, Ismail Sabri meluahkan rasa kecewa dan dukacita rakyat Malaysia terhadap serangan kejam Israel ke atas penduduk Palestin pada Mei lalu.

“Kezaliman sistematik ke atas penduduk Palestin sejak sekian lama menerusi dasar diskriminasi, mengetepikan hak asasi rakyat, mengenakan peraturan kejam, rampasan tanah besar-besaran serta perlakukan tidak berperikemanusiaan ke atas mereka, jelas menunjukkan ia jenayah apartied,” kata Ismail Sabri.

Israel menurut beliau, perlu dipertanggungjawabkan terhadap segala salah laku yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa.

Serentak itu Malaysia amat mengalu-alukan pembentukan suruhanjaya siasatan antabangsa bangsa oleh Majlis Hak Asasi Manusia bagi menyiasat jenayah kemanusiaan yang telah dicabuli oleh Israel dalam serangan yang membunuh beratus-ratus nyawa rakyat Palestin itu.-SM

(Visited 122 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button