Nasional

Kedudukan hutang negara masih di paras terurus-Tengku Zafrul

MENTERI Kewangan Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kedudukan fiskal negara masih kukuh dan hutang Kerajaan Persekutuan di tahap terkawal.

Beliau berkata, beberapa laporan di media sosial yang bertujuan mengelirukan rakyat mengenai kedudukan kewangan dan situasi hutang negara tidak harus dipercayai.

Kementerian Kewangan (MOF) kata Tengku Zafrul ingin menekankan bahawa aspek penting dalam pengurusan hutang adalah kemampuan keberhutangan (debt affordability) dan kemampanan hutang (debt sustainability).

“Dalam hal ini, hutang Kerajaan Persekutuan jelas masih terkawal berdasarkan faktor-faktor berikut iaitu walaupun negara telah melalui beberapa siri krisis kemelesetan ekonomi dan kewangan sebelum ini, Kerajaan amat berdisiplin dan tidak pernah gagal membayar faedah dan hutang yang matang.

“Ini membuktikan reputasi dan kemampuan Malaysia sebagai penghutang yang mempunyai rekod bayaran balik yang baik,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengurusan hutang secara berhemat juga diterapkan melalui undang-undang sedia ada, antara lainnya, Artikel 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya Kerajaan sentiasa mengutamakan perbelanjaan berkaitan hutang (debt charges) berbanding perbelanjaan operasi yang lain.

“Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 memperuntukkan pinjaman luar pesisir (offshore borrowings) tidak boleh melebihi RM35 bilion. Pada akhir Jun 2022, hutang ini berjumlah RM29.4 bilion.

“Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 20212 menetapkan bahawa had statutori hutang3 Kerajaan tidak boleh melebihi 65% daripada KDNK4. Pada akhir Jun 2022, hutang statutori mencatat 60.4% daripada KDNK,” jelas beliau.

Selain itu, 97% daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi Ringgit, kata Tengku Zafrul.

Tambah beliau, ini mencerminkan pengurusan hutang berhemat kerana pendedahan kepada risiko tukaran mata wang asing (foreign exchange risk) adalah minimum.

Kata Tengku Zafrul lagi, paras hutang yang tinggi tidak bermakna negara mempunyai risiko kebankrapan.

Katanya, pelbagai agensi penarafan antarabangsa seperti S&P Global, Fitch dan Moody’s sentiasa menilai tahap hutang sesebuah negara bersama dengan faktor lain seperti rangka kerja fiskal berhemat, tadbir urus yang utuh dan kedudukan luaran yang baik, serta kekukuhan ekonominya.

“Pihak Dana Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut mengakui bahawa kedudukan hutang Malaysia masih di paras terurus,” ujar beliau.

Baru-baru ini, katanya, S&P menjangkakan perancangan dasar Kerajaan akan menyokong pengukuhan kedudukan fiskal negara.

“Berdasarkan faktor-faktor di atas, MOF juga ingin menyangkal dakwaan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat bahawa Malaysia bakal menjadi muflis seperti sebuah negara di Asia Selatan baru-baru ini,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul memberitahu, MOF telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai beberapa laporan palsu di media sosial mengenai kedudukan hutang negara yang dilihat bertujuan mengelirukan rakyat dan berpotensi untuk menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia. – SM

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button