Politik

Kedaulatan undang-undang negara sudah hilang – Dr. Mahathir

KEDAULATAN undang-undang atau ‘rule of law’ negara ini disifatkan sebagai sudah hilang berikutan tindakan Pengisytiharan Darurat dicadangkan Perdana Menteri.

Sekali lagi disebut, Parlimen digantung dan amalan demokrasi tidak dapat diteruskan apabila kuasa mutlak diberikan kepada pentadbiran eksekutif.

Justeru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipersoal mengenai perancangannya dalam tempoh penguatkuasaan darurat dan bagaimana krisis kesihatan ini dapat diselesaikan.

Malah, pemikir terbaik dunia juga dikatakan menghadapi kesukaran untuk mencari kaedah terbaik bagi membendung wabak Koronavirus (Covid-19).

“Kedaulatan undang-undang sudahpun dihapuskan. Kami (kita) yakin bahawa niatnya baik. Tetapi apabila diberi kuasa mutlak, pelanggaran dan penyalahgunaan akan berlaku.

“Semua yang dilakukan adalah atas nama Yang di-Pertuan Agong. Mereka (kerajaan) tidak boleh dipersoalkan. Mereka juga tidak boleh dihadapkan ke Parlimen kerana semua persidangan telah dibatalkan.

“Tetapi pengisytiharan darurat telah memberikan kuasa besar kepada Pemerintah.”

Kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dalam blognya mengulas pelaksanaan Ordinan Darurat dan mendakwa terdapat kuasa yang boleh disalah guna ketika ini.

Terdahulu, Muhyiddin dilapor menghadap Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada 11 Januari bagi menasihatkan baginda supaya memperkenan Proklamasi Darurat.

Susulan itu, dalam perutusan kedua selepas pengumuman penguatkuasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)2.0, beliau memaklumkan pengisytiharan darurat dikuatkuasakan sehingga 1 Ogos.

Dalam makluman tersebut, beliau memberitahu Proklamasi Darurat adalah untuk menangani krisis kesihatan, bagaimanapun kuasa legislatif peringkat persekutuan dan negeri digantung.

Oleh demikian, Dr. Mahathir dalam tulisannya turut mempertikaikan intipati nasihat yang diberikan oleh Muhyiddin kepada Agong.

“Nasihat apa yang dapat dia berikan kepada Agong yang akan mengurangkan jumlah mereka yang dijangkiti, mereka yang harus dimasukkan ke hospital, mereka yang akan mati.

“Jelas dengan Proklamasi Darurat, Parlimen yang dipilih oleh rakyat kehilangan peranannya dalam pemerintahan negara ini.

“Perdana Menteri kini mempunyai kuasa penuh untuk memerintah negara itu sendiri,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa tindakan Muhyiddin hanyalah untuk memastikan beliau kekal berkuasa.

Ini kerana, Muhyiddin didakwa sudahpun kehilangan majoriti dalam Parlimen apabila dua anggotanya dari Machang dan Padang Rengas mengisytiharkan tidak lagi menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Alasan untuk merebut kuasa ini dikatakan sebagai peningkatan besar dalam pandemik Covid-19.

“Apa yang dapat dilakukan Perdana Menteri dengan kuasa mutlaknya untuk menyelesaikan krisis kesihatan ini?

“Kita harus ingat, beliau yang memutuskan untuk merampas kuasa di Sabah diikuti dengan peningkatan empat angka dalam jumlah kes baru. Sebelum itu kes baharu berkurang menjadi satu digit,” dakwanya. – SM

(Visited 578 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button