Nasional

Kedaulatan negara perlu komitmen semua – Raja Muda Perlis

Pemeliharaan keutuhan dan kedaulatan negara memerlukan komitmen semua lapisan rakyat, dan tidak hanya oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Konsep pertahanan menyeluruh berkait dengan usaha yang total dan bersepadu yang dilaksanakan oleh Kerajaan, Agensi Bukan Kerajaan, sektor swasta dan rakyat jelata dalam mempertahankan negara.

Sesungguhnya ‘Dasar pertahanan negara menggariskan tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan strategik negara, prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan. Ia menekankan keperluan mengekalkan sekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman.

Demikian titah Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri majlis santapan malam ‘Jasa Mu DiKenang’ bagi meraikan Panglima Markas Ke-30 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia, Brigadier Jeneral Hassan Embong yang diadakan di Wisma Perwira, Markas Ke-30 Briged Infantri, Kem Bukit Cowder, Mata Ayer.

Berangkat sama ke majlis yang dihoskan oleh Briged Infantri berkenaan ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir ke majlis bertemakan ‘Teguh Perisai – All White’ tersebut ialah Penasihat Undang-Undang Negeri Mohd Radhi Abas, Pegawai Kewangan Negeri Nasaruddin Abdul Muttallib, Ketua Polis Negeri Datuk Surina Saad serta ketua-ketua jabatan serta agensi Negeri dan juga Persekutuan.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah menasihatkan kepada seluruh warga 30 Briged Infantri walaupun diganti pemerintahan yang baru iaitu dengan pertukaran Panglima Hassan yang telah bertukar berkuatkuasa pada 31 Oktober 2020 setelah berkhidmat di Perlis sejak 14 Mac 2019, para anggota diharap sentiasa berpegang kepada ‘Dasar Pertahanan Negara’ yang mencerminkan hasrat negara dalam mempertahankan kepentingan-kepentingan strategiknya dan memelihara keselamatan walau dalam apa keadaan sekalipun termasuklah cabaran terbaru negara iaitu penularan COVID-19 yang melanda dunia hari ini.

(Visited 429 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button