Negeri

Kedah tuntut 10 sen bagi setiap meter padu air dari P. Pinang

KERAJAAN negeri Kedah akan menuntut pampasan 10 sen bagi setiap meter padu air mentah dari kawasan tadahan air Ulu Muda yang digunakan oleh Pulau Pinang.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sedia berunding dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mempastikan Kedah mendapat pampasan.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri Kedah tidak berhasrat untuk menerima ‘sumbangan’ dari negeri itu dalam memelihara kawasan tadahan air Ulu Muda.

“Kita nak bayaran (pampasan) bukan sumbangan, sumbangan ini ikut suka, sumbang berapa duit.. empat kupang (40 sen), lima kupang (50 sen).

“Kita nak bayaran yang kita letak satu meter padu 10 sen, orang Kedah kata sekupang kemudian boleh dirunding harga itu, mereka tak boleh bagi sumbangan, sumbangan ini nak bagi tak apa, tak bagi tak apa, tapi kita memang nak bayaran juga,” katanya.


Beliau mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man melalui laman sebuah portal pada 15 Disember lalu yang menggalakkan Pulau Pinang memberi sumbangan kewangan atas pengorbanan Kedah untuk tidak meneroka kawasan tadahan air di Ulu Muda.

Muhammad Sanusi berkata, Kerajaan Pulau Pinang telah mengenakan caj air mentah kepada PBAPP sebanyak enam sen bagi setiap satu meter padu.

“Jadi dialah (Pulau Pinang) patut bayar (kepada Kedah). Kalau PBAPP nak bayar pun saya terima, siapa bayar tak kisah,” katanya.

Kerajaan Kedah sebelum ini menuntut PBAPP menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun.

Ini berikutan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Jaseni Maidinsa mengeluarkan ulasan berkaitan hasrat Kerajaan Negeri Kedah untuk melakukan penerokaan mineral elemen nadir bumi (REE) berskala besar di kawasan tadahan Ulu Muda termasuk Sik dan Baling di Kedah.

Penerokaan tersebut akan menjejaskan bekalan air untuk 4.2 juta penduduk di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, kata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Penerokaan tersebut dianggarkan mampu memberi pendapatan berjumlah RM62 bilion kepada negeri Kedah.-SM

 

 

 

 

(Visited 119 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button