fbpx
Nasional

Kedah setuju tempatkan pegawai SPRM di pejabat MB

KERAJAAN negeri Kedah menerima cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menempatkan seorang pegawai kanannya di pejabat Menteri Besar sebagai usaha pencegahan aktiviti rasuah dan menjaga integriti.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata persetujuan cadangan itu dilihat sebagai satu tindakan yang menepati dasar kerajaan negeri yang mahu memastikan segala keputusan yang melibatkan tadbir urus negeri dilakukan dengan telus dan berintegriti.

“Peranan serta tanggungjawab pegawai berkenaan akan dibincangkan kemudian di antara kerajaan negeri serta pihak SPRM, dan pegawai berkenaan akan ditempatkan di pejabat menteri besar dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Kongres Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kali ke-44 di sini, Khamis.

Beliau berkata cadangan itu dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Beebi Koya semasa melakukan kunjungan hormat kepadanya di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

“Mereka datang ke Kedah hari ini untuk memberi taklimat kepada kakitangan kerajaan negeri mengenai pendekatan baharu yang dilakukan oleh SPRM dalam meningkatkan tahap integriti.


“Pada hari ini juga, kita telah mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara SPRM dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk pastikan semua prosuder yang kita lakukan seperti sebelum ini memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dicadangkan oleh SPRM,” katanya. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button