Bola SepakSukanUncategorized

Kedah miliki kelebihan untuk tundukkan Wofoo Tai Po FC

KETUA jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak, yakin pasukannya mampu melakar kejayaan ketika menentang kelab dari Hong Kong, Wofoo Tai Po FC, pada aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Darul Aman di sini, malam esok.

Katanya, walaupun Kedah memiliki kelebihan bermain di laman sendiri, namun pemain harus berwaspada dan tidak mengambil jalan mudah, sebaliknya bermain sebagai satu pasukan untuk memastikan kemenangan dan layak ke pusingan seterusnya.

“Kita bermain untuk menang, tapi jangan lupa perlawanan ini bukannya mudah, cuma sekarang ini kita ada kelebihan bermain di tempat sendiri dan berharap pemain dapat mengambil peluang ini untuk menang.

“Pemain akan bekerja keras dan apa saya boleh cakap kemasukan pemain baharu musim ini untuk berganding dengan pemain sedia ada, akan membantu mengimbangi semula pasukan seterusnya memulakan musim baharu ini dengan lebih baik,” katanya pada sidang media pra perlawanan ACL di sini, hari ini.

Aidil berkata, pemain import pertahanan, Muhammad Shakir Hamzah disahkan tidak dapat diturunkan kerana digantung, namun ianya tidak akan menggugat keupayaan pasukan Kedah, yang memiliki beberapa pemain yang boleh menggantikan Muhammad Shakir.

“Kita juga ada Kpah Sean Sherman yang akan bergandingan dengan Kipre Tchetche Herman Brice di bahagian serangan dan saya percaya kita boleh dapat keputusan yang diinginkan,” katanya.

Aidil berkata, beliau mengharapkan para penyokong dapat turun memberi sokongan padu, kepada pemain yang sekali gus menyuntik semangat buat pemain sepanjang 90 minit perlawanan.

“Sokongan padu penyokong amat diperlukan dan ini perlawanan pertama musim ini dan berharap akan mendapat keputusan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Kpah Sean Sherman berkata, beliau yakin menerusi gandingannya dengan Kipre Tchetche serta barisan pemain lain, Kedah mampu mencapai kemenangan.

“Saya baru bermain dengan Kedah musim ini dan saya yakin boleh melakukan sesuatu yang menggembirakan penyokong bersama Kipre Tchetche,” katanya. – BERNAMA

(Visited 128 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button