Nasional

10 bandar utama bakal dikuasai DAP jika pilihan raya PBT dilaksanakan

Oleh AMINUDDIN YAHAYA

PIHAK berkuasa tempatan (PBT) terbahagi kepada tiga kategori iaitu majlis bandar raya, majlis perbandaran dan majlis daerah. PBT berkuasa dalam mengeluarkan lesen-lesen, mengenakan cukai-cukai tertentu, merancang dan menguruskan bandar, membina kemudahan-kemudahan awam, unit-unit perdagangan dan perumahan dan pelbagai lagi.

Majlis bandar raya adalah kawasan pusat pentadbiran sesebuah negeri yang mempunyai penduduk melebihi 500,000 orang dan mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM100 juta setahun.

Majlis perbandaran pula adalah bandar utama atau pusat pentadbiran sesebuah negeri atau daerah yang mempunyai penduduk melebihi 150,000 orang dan mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM20 juta setahun.

Jangan kita pandang remeh agenda DAP yang mahu melaksanakan pilihan raya PBT berbanding sistem sekarang iaitu jawatan yang dipertua (YDP) dan datuk bandar melalui sistem lantikan dari kalangan penjawat awam.

Jika pilihan raya PBT dilaksanakan, maka institusi PBT akan dicemari dengan campur tangan politik kepartian kerana semestinya parti-parti politik akan masuk bertanding. Akhirnya, jawatan-jawatan PBT akan menjadi seperti Adun dan ahli parlimen yang direbut-rebut oleh politikus. Jadi, semakin menebal dan pekatlah cengkaman politik kepartian di negara kita.

Selain sistem ini merugikan kita, sebenarnya ada mudarat yang lebih besar kerana DAP punyai agenda dan misi yang sangat besar. Jangan dilupa, MCA juga menyokong cadangan ini walaupun mereka tidak berkuasa. Mengapa? Semestinya ini kerana mereka melihat ini sebagai peluang untuk menguntungkan kaum mereka. MCA dan DAP berpolitik dan berstrategi untuk kepentingan dan agenda kaum, bukannya parti semata-mata.

Sekarang ini, majoriti YDP atau datuk bandar PBT di seluruh Malaysia dilantik dari kalangan Muslim atau sekurang-kurangnya bukan ahli mana-mana parti, termasuklah kawasan-kawasan yang dikatakan sebagai ‘totok DAP/PH’.

Demografi penduduk adalah faktor penting bagi mencongak siapakah mampu memenangi sesebuah pilihan raya, termasuklah pilihan raya PBT. Berikut merupakan PBT yang pasti dikuasai secara langsung atau tidak langsung oleh DAP jika sistem ini berjaya dilaksanakan (menurut data bancian terkini):

1. Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur

Datuk Bandar (kini): Norhisham Ahmad Dahlan

Jumlah penduduk: 1,588,750

Peratusan penduduk bumiputera: 45.9%

2. Majlis Bandar Raya Ipoh

Yang Dipertua (kini): Ahmad Suaidi Abdul Rahim

Jumlah penduduk: 657,892

Peratusan penduduk bumiputera: 39.8%

3. Majlis Bandar Raya Petaling Jaya

Yang Dipertua (kini): Mohd Sayuthi Bakar

Jumlah penduduk: 613,977

Peratusan penduduk bumiputera: 46.2%

4. Majlis Banda Raya Iskandar Puteri

Yang Dipertua (kini): Salehuddin Hassan

Jumlah penduduk: 529,074

Peratusan penduduk bumiputera: 38.8%

5. Majlis Perbandaran Kluang

Yang Dipertua (kini): Mohd Rafi Abdullah

Jumlah penduduk: 167,833

Peratusan penduduk bumiputera: 47.1%

6. Majlis Bandar Raya Pulau Pinang

Yang Dipertua (kini): Yew Tung Seang

Jumlah penduduk: 708,127

Peratusan penduduk bumiputera: 33.7%

7. Majlis Perbandaran Teluk Intan

Yang Dipertua (kini): Azizan Abd Muin

Jumlah penduduk: 128,143

Peratusan penduduk bumiputera: 38.8%

8. Majlis Perbandaran Sibu

Yang Dipertua (kini): Tiong Thai King

Jumlah penduduk: 162,676

Peratusan penduduk bumiputera: 35.7%

9. Majlis Bandar Raya Kuching Selatan

Yang Dipertua (kini): James Chan Khay Syn

Jumlah penduduk: 159,490

Peratusan penduduk bumiputera: 36.4%

10. Majlis Perbandaran Subang Jaya

Yang Dipertua (kini): Noraini Roslan

Jumlah penduduk: 708,296

Peratusan penduduk bumiputera: 42.3%

Timbul persoalannya di sini, adakah kita reda dengan langkah halus menggantikan ketua-ketua PBT kepada ahli politik terutamanya dari DAP? Dan apakah jaminan PBT yang dikuasai oleh mereka ini tidak akan bertindak sewenang-wenangnya terutamanya dalam isu-isu maksiat dan yang menyentuh sensitiviti masyarakat? Kita semua kenal bahawa DAP memang terkenal dengan provokasi yang berkaitan dengan sensitiviti masyarakat.

Adakah kita reda jika penjawat-penjawat awam yang berkelayakan ini akhirnya digantikan dengan ahli-ahli politik yang kebanyakannya tidak ada kelayakan dari segi pendidikan dan pengalaman pun.

Melihat kepada sejarah dan rekod DAP dalam pilihan-pilihan raya yang terdahulu, DAP memang mendapat sokongan yang kuat dan telah menang selama berpenggal-penggal di hampir semua kawasan tersebut. Pastinya kerusi DUN dan parlimen sahaja tidak cukup. Mereka rakus dan tamak, sentiasa mahukan lagi dan lagi.

Peranan dan bidang kuasa PBT juga adalah besar dan penting yang tidak ada pada wakil-wakil rakyat seperti kuasa memberikan lesen perniagaan dan sebagainya. Pastinya DAP mahukan kuasa-kuasa tersebut.

Ini belum lagi diambil kira PBT di kawasan-kawasan yang dikuasai oleh parti komponen Pakatan Harapan yang lain, yang mempunyai majoriti tipis penduduk bumiputera kerana pasti ada ‘bahagian’ atau ‘habuan’ yang tertentu buat ‘abang besar’ iaitu DAP.

Penulis ialah Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

sumber ismaweb

(Visited 206 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button